Tuesday, February 16

UDMZ : Pengalaman Dia Penuh Didikan


Artikel ini telah ku ambil dari salah seorang anak didik MudirKu..( Huraiyah ). Hanya perkongsian pengalaman, tapi penuh dengan didikan. :



Sesungguhnya tajribah itu mendidik..tajribah adalah pengalaman..pengalaman yang kita kutip dari kehidupan.
pengalaman yang ibarat mutiara yang diselongkar dari dasar lautan. Sangat berharga.. Betapa sesuatu pengalaman itu mengajar kita menjadi dewasa, mentarbiyah kita dengan sentuhan jiwa.

Ya..pengalamanku, tarbiyahku...
Ustaz Dahlan Mohd Zain.. Murabbi yang paling aku hormati, paling aku segani. Apabila bertentang mata dengan beliau, cukup terasa di hati kasih seorang bapa terhadap anaknya, seorang datuk kepada cucunya,
seorang pendidik kepada pelajarnya. Di mataku, beliau tiada cacat cela. Setiap langkahnya, qudwah bermakna. Setiap tuturnya, ada hikmahnya. Orang di sekeliling beliau akan tersenyum apabila melihat beliau
tersenyum. Beliau tidak suka marah. Sekali sekala tertegas suara menahan sabar. Tetapi wajah tua itu tetap tabah..

Semenjak beberapa bulan lalu, beliau jatuh sakit...Sehinggalah beberapa hari lepas, beliau baru kelihatan cergas.. Aku akui, aku tidak pernah rasa dekat dengan ustaz sebelum aku masuk Khassah (kelas STAM).
5 tahun aku berada di MATRI (tingkatan 1-5)selalunya aku hanya memandang Ustaz dari jauh. Segan.Tidak pernah berborak. Takut. Sebab aku ingat ustaz garang. Aku sekadar rapat dengan arwah zaujah ustaz,arwah  Ummi Halimaton.Tapi semenjak tahun 2009,saat aku melangkah ke alam khasah, aku semakin mengenali ustaz.. dah tak rasa takut dah. 

Ustaz mengajar 3 subjek di dalam kelas. Tapi semenjak ustaz jatuh sakit,ustaz lain yang ganti. Kami risau
akan kesihatan ustaz kerana semenjak tahun lepas, seorang demi seorang murabbi kami pergi meninggalkan MATRI. Tahun 2009, tahun kehilangan. Kami tidak sanggup lagi untuk kehilangan Mudir yang kami kasihi ini. ustaz sihat dan sakit silih berganti.
 Kami tahu, ustaz rindukan arwah ummi. tapi ini tidak bermakna ustaz lalai dari kehidupan realitinya.

Beberapa hari yang lepas, aku dan 9 orang sahibahku yang lain berkesempatan menziarahi ustaz bersama pasangan murabbi kami, Cikgu Zaiton dan Cikgu Azmi. Ustaz ketika itu baru seminggu berada di rumah setelah dimasukkan ke HUKM. Ustaz kelihatan begitu ceria dan cergas. Ustaz duduk atas katil. Susah bagi ustaz untuk bergerak kerana ustaz ada masalah buah pinggang dan terpaksa membuang air kecil melaui tiub. Tetapi semangat ustaz untuk mengajar tidak pernah pudar! Masih terngiang kata-kata ustaz pada kami..
"ana sihat jaa..tak da masalah nak mengajar..kalau ikutkan nak pi MATRI pon boleh..boleh masuk kelas dah..tapi sbb yang ni ja (sambil menunjukkan tiub yang tersalur pada badannya) ana kena dok sini lah.."
"kelas ana sapa ganti??"
"ada masa kosong tak?? kalau xdak apa2, mai laa sini belajar. Bawak satu kelas, belajar kat sini, ana tak da masalah...tapi kena bagitau laa bila..." sambil ketawa riang.
"nnti antunna bincang lain dgn marhalah khasah. Jangan bincang sesama antunna puteri ja..Putera sekali.."

Betapa tingginya semangat ustaz untuk mengajar dan mendidik kami.
Kalau diikutkan adab pelajar yang sebenarnya, memang anak murid yang kena pergi mencari ilmu pada gurunya. Tapi suasana hari ini berbeza, guru yang kena masuk kelas anak murid. Kadang-kadang guru yang kena cari anak murid yang tak masuk kelas.Apa nak jadi...

Ustaz begitu ceria. Tidak lokek dengan senyuman. Seolah-olah tidak pernah sakit. Sememangnya kesakitan 
yang ustaz alami menjadikan ustaz lebih tabah. Ustaz, uzur tubuhnya tetapi muda jiwanya. Ustaz suka bercerita dan berkongsi pengalaman. Pada hari itu, Cikgu Azmi dan Cikgu Zaiton macam anak-anak beliau dan kami ini cucu-cucunya. Cikgu berdua duduk di atas kerusi yang disediakan didalam bilik, manakala kami duduk di atas lantai mengelilingi katil ustaz. 

Tidak kering gusi kami pada hari tersebut dengan lawak-lawak spontan tetapi penuh makna dan nasihat. 
Ustaz menasihati kami tentang adab menuntut ilmu. ustaz memang gemar menyentuh bab-bab tersebut.
"masa zaman khalifah2 dulu, pelajar akan tolong amik kan kasut untuk guru dia, tapi sekarang kasut mudir pun kena tendang...hari tu ana keluar musolla tengok kasut ana hilang sebelah, tengok2 dok dlm longkang..(budak2 ni kalut keluar musolla sampai tak sedar diorang dah tertendang kasut mudir masuk longkang)"
 
Sambil mencicah buah mangga muda dengan kuah belacan,(ustaz suka buah mangga muda dengan kulit-kulitnya sekali sebab ustaz kata, kulit mangga bantu meneutralkan kembali asid pada mangga muda..)ustaz menceritakan pengalaman beliau semasa muda-muda, pengalaman basikal kesayangan beliau dicuri, apabila habis angin tayar,basikal dilemparkan kedalam tali air, habis buku-buku nota ustaz yang ditulis sendiri,kronologi kehidupan beliau,pengalaman ustaz semasa belajar di Iraq. Kisah teman baik ustaz yang 42 tahun tidak berjumpa kemudian bertemu semula pada tahun lepas. Ustaz seorang  yang puitis dan gemarkan syair-syair Arab..ustaz sempat menuturkan seuntai syair Arab kepada kami..memang terasa senang dan tenang berada disamping ustaz.Benarlah kata-kata bahawa, apabila berada bersama-sama jiwa beriman, yang penuh madah zikrullah, hati kita akan turut menjadi tenang.

Terasa berat hendak meninggalkan rumah ustaz pada petang itu, tetapi apakan daya, dah lewat petang. Walaupun ustaz seorang mudir, dan kami sedang menziarahi beliau, beliau tetap mengingatkan kami pada peraturan asrama iaitu tidak boleh pulang lewat dari masa yang ditetapkan.. Meskipun kami khasah ada kelonggaran, tetapi ustaz tetap berpesan bahawa kami adalah qudwah. Kalau kami pulang lewat, adik-adik di bawah akan lihat dan persoalkan. Yang penting bukanlah peraturan tersebut tetapi, disiplin dan qudwah yang dipamerkan.

Ustaz di dalam kelas berbeza dengan ustaz di luar kelas. Di dalam kelas, ustaz lebih formal dan tegas. Tetapi
apabila bersama beliau lebih dekat, ustaz lebih lembut dan agak selamba orangnya. Ustaz memang pandai menyesuaikan diri dengan suasana. Ada masa kita perlu serius, dan ada masanya kita perlu santai aja. Letakkanlah sesuatu itu pada tempatnya.

Sesungguhnya pengalaman bersama murabbi ini amat berharga. Bagi pelajar-pelajat putera, mungkin pengalaman ini terlalu biasa kerana mereka boleh bersama Ustaz pada bila-bila masa tetapi bagi kami pelajar puteri, setiap detik bersama Ustaz adalah begitu bermakna. 
Hikmah orang tua itu bersama kekuatan para pemuda.
Jadikan setiap pengalaman itu hikmah yang dapat digenerasikan pada pewaris masa hadapan.
Binalah pengalaman bermakna, maka anda sebenarnya sedang membina sebuah tamadun bangsa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...