Sunday, October 21

Feqah : Hukum berpuasa pada bulan Haram






Hukum berpuasa pada bulan Haram


Jumhur fuqaha – Hanafiyyah, Malikiyyah dan Syafieyyah – berpendapat bahawa digalakkan berpuasa pada bulan Haram.

Malah, mazhab Malikiyyah dan Syafieyyah secara jelas mengatakan bahawa bulan Haram yang paling afdhol untuk berpuasa adalah : bulan Muharram, kemudian Rejab dan diikuti oleh dua bulan berikutnya iaitu Zulqaidah dan Zulhijjah. 

Ini berdasarkan sabda Nab
i Muhammad sallahu’alaihi wasallam :

(( أفضل الصلاة بعد صلاة الـمكتوبةِ الصلاةُ في جوف الليل ، وأفضل الصيام بعد شهر رمضان َ صيامُ شهر الله الـمـحرم ))

Maksudnya :

Sebaik-baik solat selepas solat lima waktu adalah solat pada pertengahan malam, dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram.

[Hadis diriwayatkan oleh Muslim, dari Abi Hurairah radiyallahu ‘anhu]

Dan mazhab Hanafiyyah pula mengatakan bahawa : Digalakkan berpuasa pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu dalam bulan Haram.

Mazhab Hanabilah pula mengatakan disunatkan berpuasa pada bulan Muharram sahaja dari bulan-bulan Haram yang ada. Sebahagian dari mereka ada yang menggalakkan berpuasa pada bulan Haram yang lain, tetapi kebanyakan mereka tidak menyebutkan akan keharusannya. Malah, ada yang mengatakan makruh jika hanya berpuasa pada bulan Rejab (dan dia tidak berpuasa pada bulan yang lain).

Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Muhammad sallahu’alaihi wasallam bahawa baginda melarang dari berpuasa hanya pada bulan Rejab.

[Dikeluarkan oleh Ibnu Majah. Al-Bushiri berkata : Di dalam sanad ini ada Daud bin ‘Atho Al-Madani, dan para sarjana bersepakat bahawa dia seorang yang lemah]

Ia juga disebabkan seolah-olah mengidupkan syi’ar Jahiliyyah dengan mengagungkannya sahaja. Hukum makruh ini boleh dihilangkan dengan cara dia tidak berpuasa pada satu hari (dari bulan Rejab itu), atau dia berpuasa sebulan penuh dari bulan-bulan yang lain pada tahun tersebut.

Rujukan : Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (jilid 28, m/s 95), terbitan Kementerian Wakaf Kuwait.

Sumber : Muhammad Naqib Hamdan. Lulusan Syariah Islamiyah Uni.Al-Azhar Dumyat 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...