Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Friday, March 20

'Sahabat' menyeksa. Minta maaf. Tinggalkan sendirian.

Novel - 'Sahabat' menyeret. Minta maaf. Tinggalkan.

"Apakah jenis gila engkau ini Zali bersahabat dengan orang gila?!" Hairan Bang Salleh dengan sikap Zali. 

"Jaga mulutmu Bang Salleh! Jangan Bang Salleh ringan-ringan mencaci sahabatku!" Zali melawan.

"Sahabat?! Apa masih setia engkau panggilnya sahabat? Selepas dia menyeretmu di jalanan menggunakan kereta, kemudian melepaskan dan meninggalkan kamu sendirian dengan hanya melafazkan maaf. Lalu kau bertatih sendiri mendapatkan pertolongan, mencari sendiri ubat untuk merawat segala luka yang berjarik-jarik di seluruh tubuhmu. Kau mengesot ke sana ke mari mengharap simpati. Bahkan, ketika engkau terlantar kesakitan, sedikit pun dia tidak datang menziarahi kamu atau bertanya apa perkhabaran kamu. Selepas engkau sedikit pulih dan mampu berjalan walaupun tempang, engkau sendiri yang terhegeh-hegeh berjumpa dia semata-mata ingin mengucapkan yang engkau telah memaafkan dia. Apakah jenis manusia itu kau gelarkannya sahabat?! Engkau ini gila Zali!"

"Dia sedang buat apa sekarang ini Zali yang dia akui engkau sahabatnya? Cakap?! Hampir setahun penuh luka-lukamu masih belum pulih sepulihnya. Bahkan berjangkit ke anggota lain pula. Apa pernah dia cuba membantu memulihkanmu? Membiayai segala atau sikit rawatan sakit-sakitmu? Atau cukup bertanyakan khabar untuk kau terus bersemangat untuk cuba memulihkan sendiri segala sakitmu? Pernah?!"

"Tapi dia tidak tahu yang perbuatannya adalah salah Bang Salleh!" 

"Iya Zali, masakan dia tidak boleh buat apa-apa setelah terlaku seburuk itu. Aku tidak mahu harapan lebih kalau dia juga sahabatku aku. Aku cuma hendak dia tanyakan apa kondisiku saat ini. Bila dia tanya, aku pasti menipu kata baik-baik sahaja untuk menenangkan jiwanya. Dan sudah pasti, aku juga sedikit terubat kerana orang lakukan salah, cuba merawat sakit psikologiku."

"Aku faham Zali... Engkau cuba menjaga setiap hubungan dengan manusia yang pernah bersahabat denganmu. Tapi engkau perlu ingat Zali, sahabat itu tugasnya membawa engkau kepada kebahagiaan, bila teringatnya pasti sahaja menenangkan......"

"Lalu saya perlu anggap apa pada dia Bang Salleh? Musuh?!" Zali memotong leteran Bang Salleh.

"Tidak perlu sebodoh itu kau Zali. Cukuplah kau anggap sahaja dia itu kawan jalananmu. Yang jika ada, dia hanya sebagai watak sampingan yang perlu ada pelengkap hidup... dan jika dia tiada, tidak jadi apa-apa. Bahkan engkau kadangnya lebih selesa."

Zali terus tunduk membungkam. Dia memandang Bang Salleh sebentar. Kemudian menunduk semula menghela nafas laju. Bingung.

Thursday, March 19

Anak membalas apa yang dididik ayah.

Anak membalas apa yang dididik ayah.

"Comel!" Satu perkataan yang menerjah ruang fikiran Zali. Perkataan paling sesuai untuk ditujukan kepada seorang budak kecil yang sedang berjalan dipimpin ibunya. Langkahan budak itu sedikit laju mengikut rentak langkahan ibu. Ibunya tidaklah terlalu laju, hanya sederhana jika dinisbah sebagai orang dewasa. Zali teruskan berjalan menuju ke tempat menunggu kenderaan awam.

"Dah besar nanti, pasti budak ini akan sabar memimpin tangan ibunya berjalan. Ketika itu, ibunya sudah tua berjalan tidak laju mana." Fikiran Zali bermain. Mengaitkan pendapatnya dengan kaedah hukum alam.

Pendapatnya itu berasas. Kerana beliau punyai seorang jiran pakcik tua, yang tidak terlalu upaya untuk berjalan, apatah lagi menuruni tangga perumahan. Pada suatu hari, Zali keluar dari rumahnya untuk ke kedai fotostat. Pangsapurinya punyai 5 tingkat. Ketika meniti tangga turun di tingkat 3, beliau melihat pakcik tua itu dipimpin oleh anaknya untuk turun dari rumah tingkat 4. Sangat perlahan. Anaknya sabar memimpin. Di tangan anaknya terdapat kerusi lipat bewarna hitam.  Zali terus berlalu sambil memberi salam.

Seusai urusannya di kedai fotostat dalam kira-kira 10 minit, Zali terus pulang ke rumah. Ketika meniti tangga untuk naik ke rumah, pakcik yang tadi bersama anaknya masih ada di tangga tingkat 2. Sedang berehat. Kepenatan rasanya. Zali memberi salam sekali lagi. Sebaik melepasi mereka, dua beranak itu mula melangkah semula. Mereka turun. "Huh? Masih menuruni tangga?" Zali pelik kerana mereka terlalu perlahan. "Sabar betul anaknya memimpin. Pasti ketika kecil ayahnya sentiasa sabar memimpin tangan anaknya berjalan." Zali mengagak.

Zali mengangkat tangan memberhentikan kenderaan awam. Bas pendek. Harga tambangnya 2 ringgit. Sangat mahal jika dibandingkan dengan tambang bas panjang berwarna merah dan van. Zali memilih bas itu kerana dilihatnya kosong. Dia tidak mahu berdiri.

Seusai membayar tambang Zali terus ke kerusi berhampiran. Duduk. Harapannya tidak ada perempuan atau pakcik tua yang naik bas itu selepas ini. Jika tidak, dia terpaksa berikan kerusinya kepada perempuan tersebut. Bukan dirinya baik, cuma berlagak baik. 

Fikiran Zali mengimbau ke kampung halamannya. Pernah sekali, seorang pakcik tua di kampungnya bercerita kepadanya,

"Anak pakcik kuat bekerja." Pakcik itu memulakan cerita perihal anaknya pula. Pujian sebagai muqaddimah cerita. Sudah lama sebenarnya Zali ingin menegur pakcik tersebut sebelum ini. Ini adalah kali pertama dia berbual dengan pakcik tersebut. Pakcik itu sering duduk di beranda pondok di sisi sawah. Pelbagai topik telah dijadikan bahan cerita. Zali memang pandai berbual.

"Setiap bulan pasti dia mengirimkan duit kepada pakcik." Pakcik itu berhenti. Zali tersenyum. Senyum untuk meraikan pakcik itu yang pasti bangga punyai anak yang tidak melupakannya. 

"Anak pakcik kerja apa?" Soal Zali. Gayanya tunjuk rasa teruja ingin tahu. Tapi sebenarnya dia hanya ingin memecahkan sunyi.

"Anak pakcik, doktor." Jawab pakcik tua itu sambil tersenyum. Matanya sedikit berair dan hidungnya sedikit merah. Mungkin pakcik ini gembira, agak Zali. Mungkin juga ada suatu kesedihan yang terbungkam dalam hati pakcik itu. Mungkin.

"Wah, hebatnya anak pakcik! Hebat pakcik didik anak pakcik!" Zali memuji dengan nada gembira. Tujuannya untuk pakcik itu tidak bersedih.

"Pakcik sebenarnya mahu anak pakcik hidup bersama pakcik. Perlukan sentuhannya." Pakcik itu menunduk. Zali melihat seluar pakcik yang sedikit berdebu tanah sawah. Titisan air. Pakcik itu menangis. 

Pakcik itu mengangkat kepalanya memandang sawah yang terbentang. Sambil teresak pakcik itu menyambung, "Penat pakcik usahakan sawah ini untuk mencari duit menyara pelajaran anak pakcik. Setiap tapak di kawasan sawah ini adalah saksi bahawa usaha pakcik adalah atas sayangnya pakcik kepada anak pakcik. Pakcik taknak lebih darinya, pakcik hanya inginkan selalunya dia menyentuh membelai pakcik." Pakcik itu tertunduk semula. Zali mengangkat tangan kanannya, diletakkan di bahu pakcik tua itu. Diusapnya perlahan. Zali bersimpati. Dia tidak pandai memujuk dengan kata. 

"Suatu hari nanti anak pakcik mesti akan sedar kesilapannya dan akan mula menjaga membelai pakcik sepertimana pakcik sentiasa bersamanya ketika dia kecil." Zali mencuba. 

Pakcik tua itu perlahan menoleh ke arah Zali. "Tidak pernah...pakcik tidak pernah bermanja dengannya. Pakcik hanya menumpu kerja."

Tiiiiitttt!!!! Kepala Zali ditolehkan ke arah dua buah kereta hampir berlanggaran. Sebuah kereta tergopoh keluar dari simpang. Sebuah lagi terlalu laju. "Hem, araab." Suasana yang biasa di negeri ini. 

Zali menyambung fikirannya terhadap dua situasi tadi.

"Anak pakcik tua itu pasti tidak berasa tindakannya adalah satu kesalahan." Zali cuba meletakkan dirinya pada posisi anak pakcik tua kampungnya. "Mungkin anaknya hanya tahu, duit yang dikirim kepada ayahnya adalah simbol kasih sayang darinya. Sepertimana ayahnya tunjukkan." Zali berfikir sendiri. Mencari sebab dan akibat.

Wednesday, March 18

Macam Penagih



"Macam muka penagih. Muka sakit. Mata bengkak, bibir pucat." Monolog hati Zali lemah bila melihat wajahnya di cermin sisi teksi. Nafasnya ditarik pelan dan dilepas pelan. Kalimah astaghfirullah diulang-ulang menenangkan diri. Kadangnya jadi ibadat, kadangnya hanya sebagai adat. Kerana manusia kelilingnya selalu berbuat begitu untuk bertenang.

Sekali-sekala dia merenung semula ke arah cermin sisi kereta. Dilihat mukanya yang pucat, rambut sedikit serabai ditiup angin luar. Dia menyisik semula rambutnya yang berselirat menggunakan sikat jari. Tangannya menarik hoody sweater menutup kepala untuk mengekalkan struktur rambutnya kembali. Terbuka sedikit bahagian jambul. Sedikit comel.

Pemandu teksi tenang. Zali berpuas hati. Alunan ayat Qur'an yang dialunkan dari corong radio sedikit menenangkan. Pilihan teksinya tepat.

Setiap kali menahan teksi, pasti dia memilih teksi yang sempurna luarannya. Mengikut pengalamannya, teksi yang baik luaran pasti baik juga pemiliknya. Pandai menjaga barang pasti sedikit sebanyak pandai menjaga hati orang. Kalau pun bukan dia pemilik teksi itu, pasti pemilik sebenar teksi yang baik itu tidak meminjamkan kepada orang yang biasa-biasa. 

Zali merenung kembali ke cermin sisi. Hidungnya merah. Seperti baru lepas bersedih. Kepalanya sedikit pusing.

Kepalanya terbayang watak Zainuddin dalam Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang dikhianti oleh Hayati. Zainuddin terbaring lama berputus harap. Mana tidaknya, tiada siapa lagi dalam hidupnya yang menyebelahinya. Memberi senang pada hatinya. 

Kepalanya terus teringat pula kalam hikmat Bang Muluk kepada Zainuddin, "Hey Zainuddin, engkau ini kenapa terus lemah begini? Sedangkan perempuan itu sedang bergembira di luar sana!"

Zali memandang cermin sisi kerta lagi. Sepatutnya mukanya kembali semangat kerana teringatknya segala kata hikmat. Tapi tidak. Mukanya seperti tadi. Bahkan Hatinya dibisik dendam kesakitan semula. Syaitan yang pasti tidak melepaskan peluang membisikkan kejahatan ketika badan sedang lemah kesakitan. 

Ibu ayah yang diharapkan dapat beri semangat kepadanya semula dia muka berprasangka. Apakah kecelakaan dulu membuatkan mereka bersimpati atau mereka itu berasa lega hati. Segalanya dipendam sendiri. Sekali sekala dia buka cerita kepada sesiapa di sisi. Bukan untuk difahami, cuma untuk mengubat sepi. Pernah sekali dia cerita kepada kawannya. Selesai cerita kawannya berkata, "Tega kan dia buat macam tu?" Zali terus memandang tegak ke muka kawannya. Kawannya sangat memahami. Kawannya kata, dia pun pernah alami...

Hari ini dia sakit lagi. Zali tidak beritahu ibunya. Entah, entah beberapa masa ketika ini dirinya sering diserang sakit. Awal tahun ini sahaja sudah dua kali. Sakitnya yang panjang belum pula menunjukkan tanda-tanda baik. Cuma sesekali. 

Adakah sakit-sakit ini kesan dari kecelakaan yang ditimpa tahun lepas?!

Bestkan buat salah terus dapat kemaafan? Kalau tidak dimaafkan pun akan rasa sudah selesai kerana tugasnya hanya perlu minta maaf. Bahkan yang bertanggungjawab adalah yang perlu memberi maaf. Jika tidak beri maaf, dikatakan tidak ikut Nabi. Kalau diberi maaf, kes selesai. Dia tadi puas. Selesai?

Langsung tidak dihubungi. Bahkan dirinya pula yang terhegeh-hegeh pergi bertemu untuk tenangkan diri. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...