Thursday, November 12

Bila atap nak jadi tiang dan tiang nak jadi dinding..


Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada analogi membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya.

Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan rebut ini.

Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:

“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.

Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:

“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,”
rungut tiang.

Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:

“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”

Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:

“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”


*Bebanan dan ujian yang ALLAH hamparkan kepada kita semuanya mengikut kemampuan kita. Inilah keadilan yang ditunjukkan oleh ALLAH. Sebagai faqir miskin, ALLAH mengujinya dengan kepayahan mencari harta dan sebagai orang berharta, ALLAH mengujinya dengan kepayahan menjaga dan payahnya menginfaqkan hartanya di jalan ALLAH. Begitu juga yang lain.. sebagai guru, berlain ujiannya dengan murid. Marilah sama-sama kita buat sehabis sempurna tanggungjawab yang ALLAH pikulkan kepada kita.

sumber asal : Anak Sungai Derhaka

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...