Tuesday, March 19

Bergembira Dan Lupa Pernah Bersedih (Mukmin Di Padang Masyar)




Budak kecil itu berlari kegembiraan membawa L.E 5.

----------------------------------

Aku berdiri tegak di sisi pasar. Menjaga barang-barang rumah yang selesai dibeli. Kawan-kawan yang lain masih berada di dalam pasar. Menyelesaikan urusan-urusan yang berbaki.

Melihat gelagat manusia. Itu adalah salah satu kegemaranku. Melihat manusia sibuk dengan urusan masing-masing di pasar. Penuh dengan ragam dan aksi-aksi yang tersendiri.

Mataku terlirik kepada seorang budak. Di tangannya menyorong satu beg roda berisi barang. Barangkali bukan kepunyaan dia. Kerana dia kecil lagi dan tidak mampu beli barang sebanyak itu.


Budak kecil itu menontoni pasangan suami isteri yang agak berumur. Mengikut ke sana-ke mari. Dan barangkali itu juga bukan ibu bapanya. Kerana orang tua itu kelihatan kemas dan berpakaian agak mewah jika hendak dibandingkan dengan budak kecil itu.

Sekarang aku yakin. Beg itu bukan kepunyaan budak itu dan pasti beg itu adalah kepunyaan orang yang mengupahnya untuk membawa barang. Ya, aku pasti.

Muka budak itu kelihatan sedikit ketat. Penat agaknya. Mungkin juga terkesan dengan berat barang-barang yang tidak setimpal dengan badannya yang kecil. Kadang-kadang pula mukanya melakarkan senyuman. Mungkin kerana orang yang mengupahnya berjenaka dengannya. Pandai pengupahnya mengambil hati.

"Awiz syayyal ?!!!" Jerit seorang budak lain.
Jeritan itu menyebabkan pandanganku teralih dari memerhatikan budak yang menyorong barang tadi. Itulah kalimah yang digunakan oleh budak-budak di pasar untuk mengambil upah mengangkat barang. Jadi pemerhatianku tertumpu budak yang menjerit itu. Beberapa kali kalimah itu dilaungkan dan diulang-ulang.

Budak yang menjerit tadi itu kadang-kadang mengubah strategi promosinya dengan menggunakan kaedah 'slow talk' dengan pengunjung pasar itu.
"Awiz syayyal ?" Suaranya dilembutkan. Sorang-sorang pengunjung didekatinya.

Rupa-rupanya,budak-budak yang melakukan tugas yang sama sebenarnya bukan seorang dua... Ramai. Mereka semua sekitar umur 8 tahun ke bawah. Semuanya masih kecil dan comel. Yang membezakan mereka hanya tahap palitan kotoran di baju dan seluar. Banyak atau sikit.

Semuanya menggunakan teknik yang hampir serupa untuk mempromosikan dirinya. Kadang-kadang menjerit dan kadang-kadang ‘slow talk’.

Fikiranku kembali kepada budak yang menyorong barang tadi. Aku cuba mencari budak itu. Tiada. Mungkin dia berada di bahagian perut pasar.
Entah kenapa hanya budak itu yang aku tertarik untuk diperhatikan. Mungkin sebab tahap kecomelan dan kebersihan dia yang paling memuaskan. Mungkin.

Aku cuba menoleh di kawasan parkir kereta pula.

"Haaaa ! Ada pun budak itu" Detus hatiku yang sedikit berbaur keriangan.

Kali ini dia muncul dalam keadaan berlari. Barang yang diusungnya tadi tiada. Yang ada hanyalah segenggam duit kertas 5 genih (5 ringgit).

Mukanya girang. Tangan kirinya ditunjukkan ke hadapan. Mulutnya ada menyebut satu nama. Dia terus berlari ke arah seorang kawannya tanpa menghiraukan aku yang lagi tadi sibuk memerhatikan dia. Oh, mungkin nama kawannya yang dia sebut tadi.

Muka yang  kepenatan tadi terus berubah ceria. Seakan-akan budak itu tidak pernah mengalami kepenatan mengangkat barang. Dia berbual keriangan dengan kawannya sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah kereta yang dipandu oleh penyewanya tadi.

Selepas aku melihat kejadian ini, aqalku terus mengingatkan aku pada ayat di dalam Al-Qur'an. Surah Al-Haqqah, ayat ke-19 hingga 24.

"Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: Ambillah, bacalah kitabku ini."
" Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”
" Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai."
" Dalam syurga yang tinggi."
" Buah-buahannya dekat."
" Makan dan minumlah sepuas-puasnya disebabkan apa yang telah kamu lalui pada hari-hari yang telah lalu."

Ayat ini menceritakan keadaan orang yang beriman di padang masyar.
Selepas buku amalannya diterima dan tangan kanan, mereka terus berlari-lari kegirangan sambil menunjukkan bukunya kepada semua manusia.

Kepenatan menjadi hamba ALLAH di dunia terus hilang. Kerana dia tahu tidak lama lagi Syurga yang dijanjikan akan dikecapi.


2 comments:

Yana Halim said...

teringat adik ipar yg bawak balik anggur sekilo rege 5 genih. Payah nak jumpa kat Malaysia. hehe...

Izzat Ibrahim said...

tak busuk ke bila sampai malaysia?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...