Tuesday, March 12

Berfikir Tentang Masa Depan





Kita perlu berfikir untuk masa depan. Sebagaimana kita berfikir untuk masa sekarang, begitu jugalah seharusnya kita lakukan untuk masa hadapan. Adakah kita pernah membayangkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan?

Mari kita dengarkan sebuah kisah. Ada dua orang nelayan sedang menangkap ikan. Salah seorang nelayan itu apabila mendapat ikan kecil, diambilnya dan dimasukkan ke dalam raga. Namun, jika dia mendapat ikan yang besar, dicampakkannya kembali ke laut. Rakan nelayan itu kehairanan lantas bertanya mengapa dia berkelakuan begitu.

Jawab nelayan itu, “Aku hanya ada sebuah kuali yang kecil di rumah. Kuali itu tidak muat untuk aku memasak ikan sebesar ini.”

Bayangkan! Dia tidak pernah terfikir untuk membeli sebuah kuali yang lebih besar pada suatu hari nanti. Dia tidak berfikir kecuali sekadar apa yang ada di bawah dua kakinya.

Kita perlu menggantung tinggi cita-cita kita. Kita tak mahu menjadi doktor sahaja, tetapi kita mahu jadi doktor terbaik di alam ini. Kita beralasan tak mampu, tidak layak, tidak punya wang dan sebagainya. Tetapi adakah kita telah berusaha? Adakah kita berdoa kepada Allah? Jika kita berdoa kepada Allah, adakah Allah tidak akan mengabulkan permintaan kita? Jika kita tidak meminta, maka Allah akan bagi sekadar apa yang kita perlukan.

Seorang pegawai mendapat gaji sebanyak RM 500 dan seorang lagi mendapat RM 1000. Bagaimana boleh berbeza? Ini kerana seorang merasa cukup dengan sedikit dan berhenti berusaha, tetapi seorang lagi mahukan lebih maka dia berusaha lebih.

Kita tidak mahu cita-cita yang kecil. Kita mahu membebaskan watan ini. Khilafah Islamiyah adalah sesuatu yang hebat, tetapi cita-cita Imam Hasan al-Banna yang berjiwa besar tidak berhenti di situ sahaja. Kita mahu menjadi ustaziatul alam, rujukan seluruh alam ini.

Mungkin kita merasakan cita-cita ini terlalu jauh. Tetapi, berusahalah. Ia mungkin tidak tercapai ketika hayat kita, tetapi ia pasti akan tercapai juga suatu hari nanti. Begitu juga, ketika Rasulullah SAW mendirikan daulah Islam di Madinah, adakah baginda sempat melihat bahawa Islam tersebar sehingga seperti hari ini?

Kita perlu berfikir untuk masa depan. Kita perlu menggariskan matlamat panjang kita. Dan meletakkan segala upaya kita untuk mencapai matlamat itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...