Wednesday, June 18

Kisah Cinta Suami Isteri di Mavi Marmara (Cetin dan Ciqdem Topucuoglu)

Kisah syahidnya Ketua Jawantkuasa Kecemasan Mavi Marmara, Cetin.


Kematiannya terjadi ketika beliau cuba menyelamatkan rakannya yang tercedera. Cetin menggunakan tubuhnya untuk menghalang peluru sampai ke arah rakannya. Beliau syahid di pangkuan isterinya, Ciqdem Topcuoglu, yang juga ketua wanita di Mavi Marmara.

Isterinya bercerita,

"Aku dan suamiku, Cetin telah merasakan bahawa sesuatu yang besar akan berlaku. Bermula jam 12 malam, kami sudah mula melihat pergerakan kapal yang mahu menyerang kami. Kami berdua menghabiskan malam itu dengan membaca surah Yassin, ayat Al-Qur'an yang lain, berdoa dan solat sehinggalah masuk waktu Subuh.

Ketika masuk waktu Subuh, kami berpisah kerana bersolat Subuh secara berjemaah. Suamiku berkata: "Semoga ALLAH melindungi kamu." Lalu aku menjawab, "tolonglah berhati-hati ya...." Dia memeriksa jaket keselamatanku dan mengetatkan ikatannya sehingga aku tidak boleh bernafas.

Aku mengadu, "Cetin, ikatan ini terlalu ketat!"
Cetin berkata, "Janji kepadaku, kau tidak akan membuka jaket keselamatan ini dan aku tidak bertemu dengan kau di atas."
Aku menjawab, "Aku tidak boleh janji."

Aku turun ke dek bawah untuk solat Subuh.Selesai bersolat, seorang rakan memberitahu, "Kita diserang, berdoa dan bertenang."

Lalu kami semua mula berdoa. Aku sudah pun menutup tingkap besi kabin demi keselamatan wanita yang ada. Kami telah meletakkan beberapa orang wanita di pintu kabin sebagai penjaga keselamatan dan untuk menghalang  sesiapa pun keluar tanpa urusan penting. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekecohan.

Selang beberapa ketika, aku naik ke Dek 3. Di situ aku melihat Cetin membawa sukarelawan yang cedera. Dia membawa jiranku, rakanku dan kemudian  seorang askar Israel yang tercedera. Aku melihat fosforus hijau di tangan kirinya.

Aku berkata, "Sayang, kau tercedera!"
Cetin menjawab sambil menunjukkan jaketnya, "Jangan bimbang, tidak ada yang menembusi jaket ini."
"Baik sayang. Jaga diri baik-baik." katanya sebelum meninggalkanku.

Mereka membawa semua yang tercedera melalui lorong ruangan di tangga. Aku berada kira-kira 20 meter daripada Cetin. Tiba-tiba Cetin menegurku, "Masuk dalam!"
Aku hairan bagaimana dia boleh datang kembali kepadaku secepat itu. Ketika aku sedang turun ke bawah, aku masih mendengar arahan kepada sukarelawan yang ada, "Jaga dengan baik semua yang tercedera!"

Selang beberapa ketika, aku tidak lagi mendengar suaranya. Aku naik ke atas dan bertanya kepada rakanku, "Di mana Cetin?" Dia menjawab, "Cetin baik-baik sahaja."

Aku keluar dan melihat seseorang terbaring di atas lantai. Rupa-rupanya dia suamiku. Aku menghampirinya dan bertanya, "Kenapa baring di sini? Bangun! Di sini macam zon perang!"

Dia tidak menjawab. Aku mengangkat tangannya. Tetapi tiada sebarang tindak balas dan tangannya jatuh semula. Aku memotong bajunya untuk mencari kecederaannya, tapi aku tidak menemui apa-apa. Ketika aku mula melakukan CPR dan melakukannya untuk kali kedua, aku merasakan sesuatu meletup dari dalam tubuhnya. Rupanya ada sebiji peluru meletup di dalam tubuhnya.

Selepas letupan itu, darah keluar dari mulut dan hidungnya. Pada masa inilah aku melihat kesan luka yang menandakan peluru telah menembusi belakang kepalanya selain ada peluru di badannya.

"Cetin, cakaplah sesuatu yang terakhir kepadaku. Aku tahu sayang akan meninggalkan aku." Aku kesedihan.

Aku benar-benar berharap dia boleh berkata sesuatu kepadaku. Allah mengabulkan permintaanku. Cetin berbisik, tetapi suaranya amat perlahan sehingga aku sukar untuk memahaminya.

Akhirnya aku berjaya memahami perkataan terakhirnya ketika itu ialah, "Anakku". Cetin amat sayangkan satu-satunya anak kami, Aytek dan mengharapkan dia menyambung perjuangannya.

Aku memberinya air, membacakan ayat Al-Qur'an dan berbisik kepadanya, "Aku reda kepadamu dan semoga ALLAH juga reda kepadamu. Aku telah memaafkan semua kesalahan yang mungkin sayang lakukan. Aku berjanji darahmu tidak akan dilupakan. Aku tidak akan sia-siakan satu-satunya anak kita dan aku akan mengikuti jejak langkahmu." Kata-kataku yang terakhir, "Sampaikan salamku kepada Nabi Muhammad SAW."

Selepas itu aku menutup matanya dan meninggalkannya untuk membantu rakan yang lain.


Buku : 69 Jam Di Neraka Zionis.
Penulis : Noorazman Mohd Samsuddin. (Sukarelawan HALUAN Malaysia)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...