Wednesday, March 18

Macam Penagih



"Macam muka penagih. Muka sakit. Mata bengkak, bibir pucat." Monolog hati Zali lemah bila melihat wajahnya di cermin sisi teksi. Nafasnya ditarik pelan dan dilepas pelan. Kalimah astaghfirullah diulang-ulang menenangkan diri. Kadangnya jadi ibadat, kadangnya hanya sebagai adat. Kerana manusia kelilingnya selalu berbuat begitu untuk bertenang.

Sekali-sekala dia merenung semula ke arah cermin sisi kereta. Dilihat mukanya yang pucat, rambut sedikit serabai ditiup angin luar. Dia menyisik semula rambutnya yang berselirat menggunakan sikat jari. Tangannya menarik hoody sweater menutup kepala untuk mengekalkan struktur rambutnya kembali. Terbuka sedikit bahagian jambul. Sedikit comel.

Pemandu teksi tenang. Zali berpuas hati. Alunan ayat Qur'an yang dialunkan dari corong radio sedikit menenangkan. Pilihan teksinya tepat.

Setiap kali menahan teksi, pasti dia memilih teksi yang sempurna luarannya. Mengikut pengalamannya, teksi yang baik luaran pasti baik juga pemiliknya. Pandai menjaga barang pasti sedikit sebanyak pandai menjaga hati orang. Kalau pun bukan dia pemilik teksi itu, pasti pemilik sebenar teksi yang baik itu tidak meminjamkan kepada orang yang biasa-biasa. 

Zali merenung kembali ke cermin sisi. Hidungnya merah. Seperti baru lepas bersedih. Kepalanya sedikit pusing.

Kepalanya terbayang watak Zainuddin dalam Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang dikhianti oleh Hayati. Zainuddin terbaring lama berputus harap. Mana tidaknya, tiada siapa lagi dalam hidupnya yang menyebelahinya. Memberi senang pada hatinya. 

Kepalanya terus teringat pula kalam hikmat Bang Muluk kepada Zainuddin, "Hey Zainuddin, engkau ini kenapa terus lemah begini? Sedangkan perempuan itu sedang bergembira di luar sana!"

Zali memandang cermin sisi kerta lagi. Sepatutnya mukanya kembali semangat kerana teringatknya segala kata hikmat. Tapi tidak. Mukanya seperti tadi. Bahkan Hatinya dibisik dendam kesakitan semula. Syaitan yang pasti tidak melepaskan peluang membisikkan kejahatan ketika badan sedang lemah kesakitan. 

Ibu ayah yang diharapkan dapat beri semangat kepadanya semula dia muka berprasangka. Apakah kecelakaan dulu membuatkan mereka bersimpati atau mereka itu berasa lega hati. Segalanya dipendam sendiri. Sekali sekala dia buka cerita kepada sesiapa di sisi. Bukan untuk difahami, cuma untuk mengubat sepi. Pernah sekali dia cerita kepada kawannya. Selesai cerita kawannya berkata, "Tega kan dia buat macam tu?" Zali terus memandang tegak ke muka kawannya. Kawannya sangat memahami. Kawannya kata, dia pun pernah alami...

Hari ini dia sakit lagi. Zali tidak beritahu ibunya. Entah, entah beberapa masa ketika ini dirinya sering diserang sakit. Awal tahun ini sahaja sudah dua kali. Sakitnya yang panjang belum pula menunjukkan tanda-tanda baik. Cuma sesekali. 

Adakah sakit-sakit ini kesan dari kecelakaan yang ditimpa tahun lepas?!

Bestkan buat salah terus dapat kemaafan? Kalau tidak dimaafkan pun akan rasa sudah selesai kerana tugasnya hanya perlu minta maaf. Bahkan yang bertanggungjawab adalah yang perlu memberi maaf. Jika tidak beri maaf, dikatakan tidak ikut Nabi. Kalau diberi maaf, kes selesai. Dia tadi puas. Selesai?

Langsung tidak dihubungi. Bahkan dirinya pula yang terhegeh-hegeh pergi bertemu untuk tenangkan diri. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...