Thursday, March 19

Anak membalas apa yang dididik ayah.

Anak membalas apa yang dididik ayah.

"Comel!" Satu perkataan yang menerjah ruang fikiran Zali. Perkataan paling sesuai untuk ditujukan kepada seorang budak kecil yang sedang berjalan dipimpin ibunya. Langkahan budak itu sedikit laju mengikut rentak langkahan ibu. Ibunya tidaklah terlalu laju, hanya sederhana jika dinisbah sebagai orang dewasa. Zali teruskan berjalan menuju ke tempat menunggu kenderaan awam.

"Dah besar nanti, pasti budak ini akan sabar memimpin tangan ibunya berjalan. Ketika itu, ibunya sudah tua berjalan tidak laju mana." Fikiran Zali bermain. Mengaitkan pendapatnya dengan kaedah hukum alam.

Pendapatnya itu berasas. Kerana beliau punyai seorang jiran pakcik tua, yang tidak terlalu upaya untuk berjalan, apatah lagi menuruni tangga perumahan. Pada suatu hari, Zali keluar dari rumahnya untuk ke kedai fotostat. Pangsapurinya punyai 5 tingkat. Ketika meniti tangga turun di tingkat 3, beliau melihat pakcik tua itu dipimpin oleh anaknya untuk turun dari rumah tingkat 4. Sangat perlahan. Anaknya sabar memimpin. Di tangan anaknya terdapat kerusi lipat bewarna hitam.  Zali terus berlalu sambil memberi salam.

Seusai urusannya di kedai fotostat dalam kira-kira 10 minit, Zali terus pulang ke rumah. Ketika meniti tangga untuk naik ke rumah, pakcik yang tadi bersama anaknya masih ada di tangga tingkat 2. Sedang berehat. Kepenatan rasanya. Zali memberi salam sekali lagi. Sebaik melepasi mereka, dua beranak itu mula melangkah semula. Mereka turun. "Huh? Masih menuruni tangga?" Zali pelik kerana mereka terlalu perlahan. "Sabar betul anaknya memimpin. Pasti ketika kecil ayahnya sentiasa sabar memimpin tangan anaknya berjalan." Zali mengagak.

Zali mengangkat tangan memberhentikan kenderaan awam. Bas pendek. Harga tambangnya 2 ringgit. Sangat mahal jika dibandingkan dengan tambang bas panjang berwarna merah dan van. Zali memilih bas itu kerana dilihatnya kosong. Dia tidak mahu berdiri.

Seusai membayar tambang Zali terus ke kerusi berhampiran. Duduk. Harapannya tidak ada perempuan atau pakcik tua yang naik bas itu selepas ini. Jika tidak, dia terpaksa berikan kerusinya kepada perempuan tersebut. Bukan dirinya baik, cuma berlagak baik. 

Fikiran Zali mengimbau ke kampung halamannya. Pernah sekali, seorang pakcik tua di kampungnya bercerita kepadanya,

"Anak pakcik kuat bekerja." Pakcik itu memulakan cerita perihal anaknya pula. Pujian sebagai muqaddimah cerita. Sudah lama sebenarnya Zali ingin menegur pakcik tersebut sebelum ini. Ini adalah kali pertama dia berbual dengan pakcik tersebut. Pakcik itu sering duduk di beranda pondok di sisi sawah. Pelbagai topik telah dijadikan bahan cerita. Zali memang pandai berbual.

"Setiap bulan pasti dia mengirimkan duit kepada pakcik." Pakcik itu berhenti. Zali tersenyum. Senyum untuk meraikan pakcik itu yang pasti bangga punyai anak yang tidak melupakannya. 

"Anak pakcik kerja apa?" Soal Zali. Gayanya tunjuk rasa teruja ingin tahu. Tapi sebenarnya dia hanya ingin memecahkan sunyi.

"Anak pakcik, doktor." Jawab pakcik tua itu sambil tersenyum. Matanya sedikit berair dan hidungnya sedikit merah. Mungkin pakcik ini gembira, agak Zali. Mungkin juga ada suatu kesedihan yang terbungkam dalam hati pakcik itu. Mungkin.

"Wah, hebatnya anak pakcik! Hebat pakcik didik anak pakcik!" Zali memuji dengan nada gembira. Tujuannya untuk pakcik itu tidak bersedih.

"Pakcik sebenarnya mahu anak pakcik hidup bersama pakcik. Perlukan sentuhannya." Pakcik itu menunduk. Zali melihat seluar pakcik yang sedikit berdebu tanah sawah. Titisan air. Pakcik itu menangis. 

Pakcik itu mengangkat kepalanya memandang sawah yang terbentang. Sambil teresak pakcik itu menyambung, "Penat pakcik usahakan sawah ini untuk mencari duit menyara pelajaran anak pakcik. Setiap tapak di kawasan sawah ini adalah saksi bahawa usaha pakcik adalah atas sayangnya pakcik kepada anak pakcik. Pakcik taknak lebih darinya, pakcik hanya inginkan selalunya dia menyentuh membelai pakcik." Pakcik itu tertunduk semula. Zali mengangkat tangan kanannya, diletakkan di bahu pakcik tua itu. Diusapnya perlahan. Zali bersimpati. Dia tidak pandai memujuk dengan kata. 

"Suatu hari nanti anak pakcik mesti akan sedar kesilapannya dan akan mula menjaga membelai pakcik sepertimana pakcik sentiasa bersamanya ketika dia kecil." Zali mencuba. 

Pakcik tua itu perlahan menoleh ke arah Zali. "Tidak pernah...pakcik tidak pernah bermanja dengannya. Pakcik hanya menumpu kerja."

Tiiiiitttt!!!! Kepala Zali ditolehkan ke arah dua buah kereta hampir berlanggaran. Sebuah kereta tergopoh keluar dari simpang. Sebuah lagi terlalu laju. "Hem, araab." Suasana yang biasa di negeri ini. 

Zali menyambung fikirannya terhadap dua situasi tadi.

"Anak pakcik tua itu pasti tidak berasa tindakannya adalah satu kesalahan." Zali cuba meletakkan dirinya pada posisi anak pakcik tua kampungnya. "Mungkin anaknya hanya tahu, duit yang dikirim kepada ayahnya adalah simbol kasih sayang darinya. Sepertimana ayahnya tunjukkan." Zali berfikir sendiri. Mencari sebab dan akibat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...