Thursday, April 1

Halaqah : Keimanan





Author: Izzat Ibrahim.
Tempat: Maktabah MARSAH.
Tajuk: Keimanan

Sekudrat Hamba (Muqaddimah)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur kepada ALLAH swt. Kerana dengan penyusunan terbaik NYA, dapat lagi kita Sahabat sefikrah, berkumpul pada saat ini dan tempat yang sangat barakah ini. Pertemuan kita adalah berbeza dengan pertemuan-pertemuan yang selalu kita bertemu. Pertemuan kita adalah bermatlamatkan pertemuan yang ingin kita mencari keredhaan ataupun mardhotillah. Pertemuan yang menyelamatkan kita di Padang Masyar kelak. Kerana salah satu golongan yang dinaungi oleh naungan ALLAH saat ketika tiada naungan selain naungan NYA adalah, beberapa orang pemuda bertemu adalah atas kerana kasih sayang yang berputik dari keimanan kepada ALLAH swt.


Selawat dan salam sama-sama kita tujukan kepada Rasulullah saw. Yang mana merupakan Rasul yang menyampaikan dan mendidik. (Rasul Dakwah dan Rasul Tarbiyah.) Kerana perjuangan baginda, dapat lagi kita sama-sama mengecapi dua nikmat ALLAH yang terbesar, iaitu nikmat Iman dan Nikmat Islam. Yang mana, nikmat ini adalah nikmat yang sebenarnya dicari oleh segenap lapisan masyarakat. Tapi malangnya, kerana perancangn rapi Pihak kuffar dah jahilliyah, mereka yang mencari tersalah tempat pencariannya. Mutiara nikmat yang sepatutnya dicari di dasar lautan, mereka tercari di tengah lautan padang pasir. Yang mereka jumpa hanyalah kehausan yang memeritkan. Mereka merintih kehausan. Mereka inginkan pertolongan.

Bicara Iman


Kita dimuliakan dengan iman. Iman itu memuliakan keinsanan dan kemanusiaan.
Allah SWT menganugerahkan kita dengan nikmat Iman yang amat bernilai dan berharga dalam kehidupan kita. Dengan keimanan ini jiwa dan hati kita menjadi teguh dan sentiasa bergantung kepada Allah SWT.
Benarlah kata-kata Prof Dr Yusof Al-Qardawi :

“ Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam bentuk jiwa manusia dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya.”

Murabbi saya, Cikgu Azmi Bahari ada menyebut :

“Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.”


Iman itu adalah percaya dan yakin kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Iman itu rasa cinta, rindu dan sayang kepada Allah SWT dan menjadikan saat-saat pertemuan dengannya satu saat kerinduan yang bersangatan.

Iman itu terletak pada jiwa dan hati. Untuk rasai kemanisan beriman, bersih dan jagailah hati kita.

Warnai kehidupan ini dengan keimanan dan keyakinan kepadaNya!!


Satu nikmat

“Nikmat adalah satu mahkota, yang akan dapat dilihat oleh yang kehilangannya.’


Ini adalah kata-kata oleh seorang tokoh barat. Jika kita melihat  kepada kata-kata ini, ia menunjukkan kepada kita, betapa pentingnya untuk kita menjaga sesuatu nikmat yang telah dikurnia oleh ALLAH. Dan bagi kita, pastilah mahkota nikmat yang kita miliki adalah satu yang kita ingin merasai kehadirannya. Bukan seperti kata-kata tadi, mahkota hanya dapat dilihat apabila hilang dan akan lenyap apabila miliki. Dengan ini, saya mencadangkan kepada kalian untuk sentiasa membersihkan hati.


“ Jalan yang terbaik untuk menjernihkan hati ialah dengan bangun bermunajat kepada Allah SWT di tengah malam atau pun Qiamullail. Bangun dan usahalah untuk melaksanakannya walaupun hanya 2 rakaat.”
Sebagai seorang mukmin muslim dan juga dai’ ilallah, memiliki hati yang bersih dan jernih sangat penting. Ia lambang jiwa dan sanubari yang diredhai oleh Allah SWT. Dan bekalan yang sangat mahal dan bernilai di saat hati pertemuan dengan Allah SWT ialah hati yang tenang, bersih dan diredhai oleh Allah SWT.


Amalan Soleh


Saya ada terbaca satu mutiara nasihat yang disampaikan oleh Imam Hassan Al-Banna, katanya :

“ Jika jiwa manusia istiqamah dan jernih, maka apa sahaja yang muncul darinya akan menjadi soleh dan indah.”

Inilah kesan dan pengaruh hati yang jernih dan terhindar daripada dosa dan maksiat. Pada diri yang jiwanya bersih seputih kain putih, akan terpamer keindahan dan kesolehah. Kehidupannya akan dihiasi kebahagian, ketenangan, kepasrahan dan ketenteraman yang menyenangkan. Jiwa yang sentiasa mekar bunga keimanannya. Jiwa yang sentiasa ranum buah yang dihasilkannya. Firman Allah SWT :

“ Siapa yang beramal soleh baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.”
(Surah al-Nahl : 97)

Tindakan yang praktikal

Merancang untuk bangun di sepertiga malam, memerlukan keteguhan hati dan keazaman yang tinggi. Ia bukan sesuatu yang mudah dan tidak juga sesukar mana. Namun, tewasnya kita dengan tuntutan nafsu menyebabkan kita selalu tewas untuk melaksanakan apa jua perintah dan galakan Allah SWT kepada kita terutamanya melaksanakan Ibadah di tengah malam ini.

Salah satu motivasi qiam yang selalu saya baca ialah “ Laksanakanlah Solat Tahajud kerana kemuliaan seseorang mukmin terletak kepada solat tahajudnya.”

Jadi bagaimana untuk kita rancang dan melaksanakan ibadah sunnat yang sangat digalakan ini?

Beberapa tips yang pernah diberikan oleh Murrabi saya :

Pertama, kurangkan dosa dan maksiat di siang hari. Sukarnya kita bangun malam kerana jiwa dan hati yang kotor.

Kedua, tanamkan niat, keazaman dan tekad untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT.

Ketiga, tidur awal dan di siang hari boleh laksanakan tidur Qailullah ( 30 minit )

Keempat, sebelum tidur ambil wudhuk, solat sunnat taubat 2 rakaat, bacaan doa dan panjatkan pengharapan kepada Allah SWT.

Kelima, gunakan bantuan seperti jam loceng dan minta sesiapa yang boleh bangunkan kita di waktu malam

Keenam, apabila terjaga terus bangun, ambil wudhuk, mandi (segarkan diri), solat sunat dan teruskan dengan ibadah Qiamullail.

Inilah Kerja Kita Yang Paling Utama

Benih keimanan yang mula tertanam dalam diri kita tidak akan sesekali tumbuh jika tidak dijaga dengan jagaan yang sangat rapi. Tidak akan mekar bunganya apabila tidak disiram. Dan tidak berbuah ranum pokoknya apabila tidak ditabur baja.


Melihat kembali kepada realiti masyarakat, mereka kehilangan ini. Mereka kehilangan pokok keimanan. Segelintir dari mereka hanya bersumberkan zat buahan Iman daripda Ulama’ dan Imam-imam yang soleh. Mereka kebanyakan mengikut bukan menyedari.


Jadi kepada kita yang memahami, sebarkanlah kepada mereka hakikat keimanan yang sebenarnya. Bukan mengajak solat semata-mata, tapi menerangkan dengan pelbagai cara mengikut cara berfikir mereka, mengapa mesti solat. Dan tidak lain tidak bukan untuk melahirkan keimanan dan mencegah kemungkaran.


Kerana syarat untuk kita mendapat pengiktirafan dari ALLAH dalam setiap kerja-kerja kita seperti yang telah diraih oleh Sahabat-sahabat Rasul ada 3:
1.      Menyeru kepada kebaikan.
2.      Mencegah kemungkaran.
3.      Mengajak orang untuk beriman.


“ Kamu Adalah Umat yang Terbaik, yang dikeluarkan kepada manusia. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Dan beriman kepada ALLAH swt.”
Surah Ali Imran, 3:110

Sumber:
2.       Al-Qur’an
3.       Kata-kata Ulama’



3:110



2 comments:

Hilmi Razak said...

assalamulaikum akhi,
kperkongsian yang menarik.
kata2 cikgu azmi itu, ana pernah nak salin waktu dia bg talk.tapi tak sempat, alhamdulillah dipertemukan jua.
jazakallah.
tak sabar nak balik johor, berprogram bersama2.

Unknown said...

ceptlah blk...ana pun dah merindui anta. semoga berjaya dalm exam !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...