Showing posts with label Antara Analogi. Show all posts
Showing posts with label Antara Analogi. Show all posts

Sunday, March 31

(Bersyukurlah ) "Apakah ini ?" - Soalan Menyindir.


Bersyukurlah.
Kerana kamu perlu bersyukur.

Matanya terpandang ke arah kanan. Kedai buah.

"Em, belikan buah lah untuk diorang " Getus hati seorang pemuda.

--------------------
Pemuda itu bernama Danial (Bukan nama sebenar). Beberapa hari tidak pulang ke rumah kerana ada urusan di luar negeri. Dia mempunyai satu 'habit', "Kalau ke tempat jauh, mesti cuba bawa balik something untuk ahli rumah".

Perkara ini beliau belajar dari seorang seniornya. Ketika pulang bermusafir bersama senior-seniornya dari Negeri Perlis, mereka singgah di RFC, Radix Fried Chicken. Selepas makan mereka memesan makanan bungkus. Selepas beberapa ketika menyambung perjalanan...Danial bertanya kepada dua orang seniornya,

"Untuk siapa beli ayam banyak-banyak tu?"

"Ayam-ayam itu untuk family" mereka menjawab.

Dari situ Danial belajar.

------------------
Arah tapakan kakinya terus ke kedai buah di simpang jalan. Matanya melihat satu persatu jenis buah-buahan yang dipamerkan. Mungkin untuk memilih buah yang sesuai. Lalu matanya terlirik ke arah tanda harga 5 ringgit. Buah pisang.

"Berapa ringgit sekilo buah ni pakcik" Danial cuba memastikan.

"5 ringgit nak.."

"Tak boleh kurangkan ke pakcik?" Danial cuba menawar harga.

"Awak nak berapa kilo?"

" 2 kilo, pakcik"

Di kedai buah itu ada 2 jenis pisang. Satu buah pisang import dan satu lagi buah pisang tempatan. Buah pisang import cantik luarannya dan buah pisang tempatan agak kehitaman kulitnya.

"Kalau yang import pasti mahal harganya" getus hatinya.

Danial membiarkan pakcik buah itu menyiat buah pisang tempatan. Kerana duitnya tidaklah cukup untuk membeli pisang import. Harap-harap isinya baik.

Sambil pakcik tersebut menyiat beberapa sikat dari tandan pisang itu Danial menambah,
"Saya nak belikan untuk ahli rumah saya... Dah 3-4 hari saya tak balik rumah"

"Ok, 2 kilo 9 ringgit" Pakcik itu mengurangkan harga.

"Kejap pakcik. Saya takut tak cukup duit"

Danial mengeluarkan duit syiling yang berada di poketnya. Dia mengira satu persatu duit syiling yang ada di genggamannya. 11 ringgit semuanya. Duitnya kehabisan kerana menyiapkan segala urusan.

"Kau ada berapa ringgit ?" Pakcik itu bertanya.

"Takpa pakcik, cukup duit saya ni " Sambil tangannya menghulur ke arah pakcik buah itu.

"Awak cukup duit tak nak tambang balik? Nah ambil lah seringgit ni " Pakcik itu kasihan.

" Takpalah pakcik. Semoga pakcik deberkati ALLAH atas budi baik pakcik" Danial menolak tawaran pakcik sambil mendoakan.

Alhamdulillah. Danial kepuasan. Barang yang dicarinya sebagai buah tangan untuk ahli rumahnya sudah dijumpai. Hatinya berbunga.

----------------------------
11 ringgit yang berada di poketnya sebenarnya ada beberapa  pilihan lain untuk digunakan.

Pilihan pertama adalah untuk digunakan membayar tambang teksi dari stetsen bas ke rumah. Jauh dia menaiki bas dari luar negeri, badannya sangat kepenatan. Selalunya jika duit banyak, pasti dia akan menaiki teksi.

Pilihan kedua adalah untuk membeli air jus. Tekaknya sangat dahaga kerana kesan musafir. Lagipun, telah sekian lama tidak meneguk air jus buah tepi jalan.

Pilihan ketiga wujud selepas terlihat kedai buah tersebut. 2 pilihan atas tadi dipadamkan khas untuk mengutamakan ahli rumahnya.

----------------------------
Sampai sahaja di rumah Danial meletakkan buah pisang itu di atas meja makan.

"Assalammualaikum"

krek krek. Sunyi. Semua ahli rumahnya sedang tidur kecuali 2 orang. Dua-dua sedang menutup telinga dengan 'ear phone'. Disalam kedua-dua ahli rumahnya. Bertanya khabar dan bercerita pendek.

Rupa-rupanya sepanjang ketiadaan Danial di rumah... mereka seisi rumah keluar bermain boling.

"Eh, ni kat atas meja ada pisang. Makanlah. Pisang itu hitam sikit...tapi dalam ok je". Danial mempelawa sambil mengunyah buah pisang yang dibelinya.

Beberapa seketika ahli rumahnya yang lain bangkit dari tidur. Selepas mandi dan mengemas katil... terus ke arah meja makan. Mereka membelek plastik hitam yang berisi buah pisang.

"Apa ni...Kenapa semua hitam je pisang ni ? " Buah pisang yang kehitaman dipersoalkan.

Danial senyap di sisi laptop. Sakan-akan tidak mendengar persoalan rakannya itu. Hatinya cuba memujuk.




Tuesday, March 19

Bergembira Dan Lupa Pernah Bersedih (Mukmin Di Padang Masyar)




Budak kecil itu berlari kegembiraan membawa L.E 5.

----------------------------------

Aku berdiri tegak di sisi pasar. Menjaga barang-barang rumah yang selesai dibeli. Kawan-kawan yang lain masih berada di dalam pasar. Menyelesaikan urusan-urusan yang berbaki.

Melihat gelagat manusia. Itu adalah salah satu kegemaranku. Melihat manusia sibuk dengan urusan masing-masing di pasar. Penuh dengan ragam dan aksi-aksi yang tersendiri.

Mataku terlirik kepada seorang budak. Di tangannya menyorong satu beg roda berisi barang. Barangkali bukan kepunyaan dia. Kerana dia kecil lagi dan tidak mampu beli barang sebanyak itu.


Budak kecil itu menontoni pasangan suami isteri yang agak berumur. Mengikut ke sana-ke mari. Dan barangkali itu juga bukan ibu bapanya. Kerana orang tua itu kelihatan kemas dan berpakaian agak mewah jika hendak dibandingkan dengan budak kecil itu.

Sekarang aku yakin. Beg itu bukan kepunyaan budak itu dan pasti beg itu adalah kepunyaan orang yang mengupahnya untuk membawa barang. Ya, aku pasti.

Muka budak itu kelihatan sedikit ketat. Penat agaknya. Mungkin juga terkesan dengan berat barang-barang yang tidak setimpal dengan badannya yang kecil. Kadang-kadang pula mukanya melakarkan senyuman. Mungkin kerana orang yang mengupahnya berjenaka dengannya. Pandai pengupahnya mengambil hati.

"Awiz syayyal ?!!!" Jerit seorang budak lain.
Jeritan itu menyebabkan pandanganku teralih dari memerhatikan budak yang menyorong barang tadi. Itulah kalimah yang digunakan oleh budak-budak di pasar untuk mengambil upah mengangkat barang. Jadi pemerhatianku tertumpu budak yang menjerit itu. Beberapa kali kalimah itu dilaungkan dan diulang-ulang.

Budak yang menjerit tadi itu kadang-kadang mengubah strategi promosinya dengan menggunakan kaedah 'slow talk' dengan pengunjung pasar itu.
"Awiz syayyal ?" Suaranya dilembutkan. Sorang-sorang pengunjung didekatinya.

Rupa-rupanya,budak-budak yang melakukan tugas yang sama sebenarnya bukan seorang dua... Ramai. Mereka semua sekitar umur 8 tahun ke bawah. Semuanya masih kecil dan comel. Yang membezakan mereka hanya tahap palitan kotoran di baju dan seluar. Banyak atau sikit.

Semuanya menggunakan teknik yang hampir serupa untuk mempromosikan dirinya. Kadang-kadang menjerit dan kadang-kadang ‘slow talk’.

Fikiranku kembali kepada budak yang menyorong barang tadi. Aku cuba mencari budak itu. Tiada. Mungkin dia berada di bahagian perut pasar.
Entah kenapa hanya budak itu yang aku tertarik untuk diperhatikan. Mungkin sebab tahap kecomelan dan kebersihan dia yang paling memuaskan. Mungkin.

Aku cuba menoleh di kawasan parkir kereta pula.

"Haaaa ! Ada pun budak itu" Detus hatiku yang sedikit berbaur keriangan.

Kali ini dia muncul dalam keadaan berlari. Barang yang diusungnya tadi tiada. Yang ada hanyalah segenggam duit kertas 5 genih (5 ringgit).

Mukanya girang. Tangan kirinya ditunjukkan ke hadapan. Mulutnya ada menyebut satu nama. Dia terus berlari ke arah seorang kawannya tanpa menghiraukan aku yang lagi tadi sibuk memerhatikan dia. Oh, mungkin nama kawannya yang dia sebut tadi.

Muka yang  kepenatan tadi terus berubah ceria. Seakan-akan budak itu tidak pernah mengalami kepenatan mengangkat barang. Dia berbual keriangan dengan kawannya sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah kereta yang dipandu oleh penyewanya tadi.

Selepas aku melihat kejadian ini, aqalku terus mengingatkan aku pada ayat di dalam Al-Qur'an. Surah Al-Haqqah, ayat ke-19 hingga 24.

"Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: Ambillah, bacalah kitabku ini."
" Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”
" Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai."
" Dalam syurga yang tinggi."
" Buah-buahannya dekat."
" Makan dan minumlah sepuas-puasnya disebabkan apa yang telah kamu lalui pada hari-hari yang telah lalu."

Ayat ini menceritakan keadaan orang yang beriman di padang masyar.
Selepas buku amalannya diterima dan tangan kanan, mereka terus berlari-lari kegirangan sambil menunjukkan bukunya kepada semua manusia.

Kepenatan menjadi hamba ALLAH di dunia terus hilang. Kerana dia tahu tidak lama lagi Syurga yang dijanjikan akan dikecapi.


Tuesday, March 12

Berfikir Tentang Masa Depan





Kita perlu berfikir untuk masa depan. Sebagaimana kita berfikir untuk masa sekarang, begitu jugalah seharusnya kita lakukan untuk masa hadapan. Adakah kita pernah membayangkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan?

Mari kita dengarkan sebuah kisah. Ada dua orang nelayan sedang menangkap ikan. Salah seorang nelayan itu apabila mendapat ikan kecil, diambilnya dan dimasukkan ke dalam raga. Namun, jika dia mendapat ikan yang besar, dicampakkannya kembali ke laut. Rakan nelayan itu kehairanan lantas bertanya mengapa dia berkelakuan begitu.

Jawab nelayan itu, “Aku hanya ada sebuah kuali yang kecil di rumah. Kuali itu tidak muat untuk aku memasak ikan sebesar ini.”

Bayangkan! Dia tidak pernah terfikir untuk membeli sebuah kuali yang lebih besar pada suatu hari nanti. Dia tidak berfikir kecuali sekadar apa yang ada di bawah dua kakinya.

Kita perlu menggantung tinggi cita-cita kita. Kita tak mahu menjadi doktor sahaja, tetapi kita mahu jadi doktor terbaik di alam ini. Kita beralasan tak mampu, tidak layak, tidak punya wang dan sebagainya. Tetapi adakah kita telah berusaha? Adakah kita berdoa kepada Allah? Jika kita berdoa kepada Allah, adakah Allah tidak akan mengabulkan permintaan kita? Jika kita tidak meminta, maka Allah akan bagi sekadar apa yang kita perlukan.

Seorang pegawai mendapat gaji sebanyak RM 500 dan seorang lagi mendapat RM 1000. Bagaimana boleh berbeza? Ini kerana seorang merasa cukup dengan sedikit dan berhenti berusaha, tetapi seorang lagi mahukan lebih maka dia berusaha lebih.

Kita tidak mahu cita-cita yang kecil. Kita mahu membebaskan watan ini. Khilafah Islamiyah adalah sesuatu yang hebat, tetapi cita-cita Imam Hasan al-Banna yang berjiwa besar tidak berhenti di situ sahaja. Kita mahu menjadi ustaziatul alam, rujukan seluruh alam ini.

Mungkin kita merasakan cita-cita ini terlalu jauh. Tetapi, berusahalah. Ia mungkin tidak tercapai ketika hayat kita, tetapi ia pasti akan tercapai juga suatu hari nanti. Begitu juga, ketika Rasulullah SAW mendirikan daulah Islam di Madinah, adakah baginda sempat melihat bahawa Islam tersebar sehingga seperti hari ini?

Kita perlu berfikir untuk masa depan. Kita perlu menggariskan matlamat panjang kita. Dan meletakkan segala upaya kita untuk mencapai matlamat itu.

Monday, February 18

Jika Anda Rabun (Analogi)




Tajuk : Jika Anda Rabun
Karya : Ikhwan Mahadzir



Ini adalah kisah dua ekor burung helang yang satunya memiliki mata yang sihat, serta penglihatan yang cukup tajam. Manakala rakannya pula mempunyai penglihatan yang kurang jelas dan sukar baginya untuk mencari makan.


Helang yang pertama tadi dengan mudah keluar untuk mencari makan. Dengan kehebatannya, seekor tikus pun belum pernah terlepas dari serangannya. Ini menyebabkan hidupnya sentiasa bahagia.


Lain pula dengan helang yang rabun ini. Dia jarang sekali dapat melihat tikus dengan jelas. Selalu dia terlepas. Lalu dia mengambil keputusan untuk menangkap apa saja benda kecil yang bergerak. Hal ini menyebabkan nasibnya selalu kurang baik. Ada masa terkena serangga yang merbahaya, dan ada ketika sampah-sampah yang ditiup angin menjadi makanannya. Hidupnya tak seindah si helang pertama tadi.


Namun begitu, datang satu musim dimana tidak ada lagi tikus yang berkeliaran. Menyebabkan helang pertama tadi mula gelisah memikirkan rezekinya. Sehinggalah lama-kelamaan helang itu pun mati kelaparan.


Di sinilah kehebatan helang kedua tadi terserlah. Sekalipun ia jarang menikmati kelazatan seperti rakannya, namun dia masih dapat meneruskan kehidupan kerana dia tidak berapa kisah walaupun sudah tidak ada tikus lagi. Dia sudahpun biasa dengan memakan selain dari tikus. Sehingga kini pengembaraannya masih diteruskan.


Kita mungkin pernah berasa lemah dengan segala kelemahan kita, bila kita sibuk membandingkan kelemahan kita dengan kekuatan orang lain. Sedangkan kelemahan kita itu adakalanya menjadi kekuatan kita, manakala kekuatan orang  lain itu akan menjadi peluru yang bakal menembusi isi kepala mereka sendiri.


Jangan kita memandang kelemahan kita dari satu sudut sahaja, kita adalah insan yang berakal serta berhati mulia, masih luas dunia ini untuk kita teroka, masih luas cabang kehidupan yang perlu kita lalui.


Sekalipun kota penuh dengan papan tanda, manusia masih kekal binasa.
Walaupun hutan penuh dengan bahaya,  manusia terus berjaya meneroka.

Thursday, July 5

Jadilah Seorang Pengembara : Berhati-hati

 
 
Sentiasa jadikan dirimu seperti Seorang Pengembara.

Kerana pengembara itu sifatnya :
1. Sentiasa mencari orang-orang baik.
2. Selalu bertawakkal.
3. Sentiasa ambil peluang yang terhidang.

--------------------------
Pengembara itu berhati-hati dalam kehidupannya.
Jika mereka berkumpulan, mereka tidak mudah untuk bermusuhan.
Kerana pabila bergaduh, ianya akan merosakkan pengembaraan.

Hati Lemah : Recharge

Credit : http://www.liveyourseoul.com

Akan anda temui dan hadapi hari yang sangat lemah. Seluruh usaha anda menjadi gagal. Pada ketika ini anda akan lebih terasa bahagia jika dapat melayan muzik yang sedih. Instrumental yang menyedapkan hati anda. Sebenarnya anda seakan-akan menikam jantung untuk mati dengan segera. Fikiran anda pada saat itu sangat negatif dan penuh dengan andaian-andaian yang pelik, walaupun pada ketika itu anda merasakan anda adalah benar. Sebenarnya anda silap.

Penawar bagi lemah hanyalah kekuatan. Selagi anda memerangkap minda anda, selagi itulah tubuh anda terikat dengan kelemahan yang anda sendiri cipta. Padahal, asalnya anda adalah kekuatan. Dan kekuatan anda sudah cukup untuk anda teruskan kehidupan sehingga mati. Jangan mati awal dari masa yang Tuhan telah tentukan pada anda. Persekitaran adalah kekuatan. Maka binalah persekitaran yang sihat dan kuat. Gaya hidup yang cekal bersemangat walaupun arus kelemahan sedang melanda jiwa anda.

Hati anda ada masanya akan lemah. Namun akal anda telah menyimpan pelbagai data maklumat yang mampu menangani segala masalah. Jangan biar hati anda memakan data-data tersebut.

Kembali pada asal. Kita hanyalah makhluk Allah yang lemah. Namun kita adalah makhluk Allah yang dipilih bagi mendokong beberapa beban tanggungjawab sebelum mati pada masanya. Lemah? Kekuatan ada pada anda. Realisasikan kekuatan tersebut.

Sumber : http://isshokemmei.wordpress.com

Sunday, June 17

Bertakbirlah 7 Petala Cinta



Jika alam ini menyedari kita sentiasa berusaha merapatkan ukhuwwah, segenap alam pasti bertakbir kegembiraan.
............................................
Sebagai contoh orang yang mengumumkan tarikh perkahwinan,pasti akan banyak LIKES dan SHARE statusnya. ^^
Baru umumkan, belum lagi berkahwin.

Kerana perkahwinan itu simbol pereratkan Ukhuwwah.
---------------------------------------
Apabila kita berjaya menyuburkan Ukhuwwah, pasti Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi yang akan sujud syukur.

Kerana kita telah berjaya meringkai Tujuh Petala Cinta yang terkandung di antara dua Petala tadi ^^

Thursday, June 14

Fikrah Yang Fitrah


Fikrah yang fitrah tetap akan diterima.
Walaupun masanya memakan berkurun abad.

Ianya meresap perlahan ke dalam hati manusia,
Seakan oksigen yang masuk melalui penafasan.

Fikrah itu mula dengan mengikut rentak jantung bernafas,
Apabila perlu, ia mampu berdegup kencang nafas larian.

Kerana fikrah yang fitrah bukan sesuatu direntap masuk,
Mengharapkan seakan-akan ubat yang pulihkan dari dalam.





Mereka kadangnya ingin merasa puas nampak ditelan,
Tetapi slps 10 second, nampak muntah bersepah-sepah.

Sebab apa?
Sebab terlalu memaksa menelan keanehan.

Dan pabila orang termuntah,
Mudah sahaja melabelnya 'orang yang pengotor'. Mudah.

Kalau nak tahu, engkau sebenarnya yang pengotor,
Menyebabkan dunia busuk dengan muntah bernanah.

Jadi sebenarnya Daie yang berfikrah fitrah itu kreatif,
Menyesuaikan fikrah dengan manusia di hadapannya.

dan Daie yang berfikrah fitrah itu juga adil,
Bukannya memilih manusia untuk fikrahnya.

Sunday, May 8

Sabar - Kesusahan Itu Hanyalah Satu Gerhana


Fajar terbit memancar ke langit menandakan matahari mula melakukan tugas sebagai hamba Allah. Matahari membuka empangan cahayanya lalu tersimbah ia ke serata alam. Burung2 berkicauan memulakan kerja harian mereka. Mencari rezeki menyempurnakan fitrah makhluk untuk kekal di muka bumi.

Keriangan jelas terpancar di wajah-wajah burung. Mereka bekerja bersama, seperti ada keterikatan seperti sebuah keluarga. Mereka berkicau sambi berterbangan ke sana ke mari, bersyukur dengan kebolehan dan bakat yang ALLAH beri.

Tiba-tiba, cahaya matahari yang meriangkan mereka telah hilang, seakan-akan dibaham garuda jahanam. Mereka pulang mengubat kesedihan yang tiada ganti. Mereka merenung ke luar jendela, menanti sesuatu dengan kesabaran dan keyakinan yang tinggi. Apakah mereka tidur mengubat kesedihan? Tidak. Kerana mereka yakin itu semua hanyalah gerhana yang akan pergi tidak lama lagi.

Inilah yang dinamakan sebuah kehidupan. Adakalanya kita diberikan kesenangan dan kenikmatan untuk kita bersyukur padaNYA dan adakalanya ujian dan kesusahan yang dihidangkan kepada kita agar kita bersabar dengannya.

Kita sebagai manusia biasa, pasti saja rasa lemah akan melanda apabila ujian itu datang menjelma. Adakalanya kita terdetik yang apakah Allah benar-benar menguji kita atau Allah tak sayang pada kita. Dan adakalanya kita terus hanyut dengan ujian itu kerana rasa sudah tiada pengharapan lagi.

Sebenarnya, marilah kita merenung sebentar dengan kesabaran dan keyakinan. Yakinlah bahawa kesakitan itu pasti akan pergi. Dan ALLAH sangat sayang pada kita.

Sunday, November 21

Merawat ranting dengan vitamin (Analogi)



Kamal terbongkok-bongkok di sisi kebunnya. Keringat yang dari tadi menghujani dahinya diabaikan. Panas terik matahari semakin menikam. Sekumpulan Burung-burung yang pagi tadi menghiasi langit kini rehat sebentar di kamar beradu. Mungkin kerana silauan cahaya matahari.

Kebun yang seluas 10 ekar yang baru diberikan ayahnya cuba diusahakan dengan baik. Di permulaan ini, kamal mengusahakan kebun itu seorang diri. Dia cuba mendalami ilmu berkebun dengan membaca buku-buku yang ditulis oleh pakar2 kebun barat.

Baja dan vitamin untuk pokok sentiasa dia bekalkan untuk proses perapian. Tidak dilupakan juga racun serangga khas untuk memelihara pokok dari diserang serangga. Senang ceritanya, lengkap. Semua alat penjagaan dan perapian pokok telah lengkap disediakan.

Ketika hari semakin sore dan Matahari telah condong ke ufuk barat, Kamal bersiap untuk meninggalkan kebunnya. Dan dia berpuas hati dengan keadaan pokok dan kebunnya pada hari itu. Dan dia merasakan, semakin hari keadaan kebunnya semakin baik.

Baru beberapa langkah kamal menapak untuk menuju ke keretanya, dia terlihat beberapa batang pokok yang berhampiran pagar seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia  menghampiri pokok tersebut. Rupa-rupanya, 5 batang pokoknya telah diserang ulat di bahagian ranting. Kamal mulai gelisah. Hajatnya untuk balik ke rumah ditangguhkan.

Racun, vitamin, baja dan beberapa alat berkebun lain dikeluarkan semula. Dia terus berlari-lari anak untuk mendapatkan pokok2nya yang sedang berjuang melawan serangan ulat. Perasaan sedih dan geram mulai timbul di dada kamal. Hampir musnah ranting tersebut akibat diserang oleh ulat2 pemusnah.

Kamal menarik nafas dalam2 lalu menghembuskan angin dengan hembusan yang cuba ditenangkan. Dia menenangkan semula fikirannya dan cuba mempraktikkan segala ilmu hasil dari pembacaannya.

Langkah pertama yang cuba diambil oleh kamal adalah, membunuh semua ulat yang sedang merayap di ranting2 kelima-lima pokok tersebut. Dengan cara menyemburkan racun untuk serangga perosak.
Langkah kedua, dia membuang ulat2 yang telah mati dan masih melekat.

Setelah habis semua ulat dibunuh, kamal mengambil langkah untuk menyembur vitamin di ranting2 yang hampir rosak diserang ulat2 tadi. Selesai. Getus hatinya. Puas melihat ulat2 perosak itu mati. Dan berasa lega kerana masih dapat merawat ranting2 pokok yang hampir musnah.

Kamal pulang ke rumah dengan hati yang sangat gembira dan penuh harapan agar pokok2 yang akan pulih semula pada esok hari.

Pada keesokan harinya, kamal rasa sedikit berat untuk ke kebun. Dia tidak berapa risau, kerana pokok yang baru ditanam itu hanyalah anak pokok durian. Tidaklah perlu hari2 di jaga. Kerana pokok durian mempunyai ketahanan fizikal yang kuat.

Selang 2 hari, kamal pergi ke kebunnya. Pokok pertama yang dilihatnya adalah pokok yang 2 hari lepas diserang ulat2 perosak.

Ha!. Kamal berasa sangat terkejut, kerosakan kelima-lima pokoknya semakin menjadi-jadi. Kerosakan yang dari ranting telah menjalar ke bahagian batangnya pula. Lebih mengejutkan, pokok2 yang berhampiran kelima-lima pokok itu telah mula menunjukkan tanda2 kerosakan di bahagian ranting dan daunnya. Anak2 pokok durian yang lain kelihatan sedikit layu pada daunnya. Mana tidaknya,masih anak mana reti cari makanan sendiri.

Kamal terus bergegas ke pondok simpanan barang. Dia mengeluarkan segala kelengkapan barang2 berkebun. Dia cuba melakukan kerja dengan tenang dan berfikiran kreatif.

Hari itu Kamal bertungkus lumus merawat semua pokoknya. Dia menyembur racun pada pokok yang diserang ulat dan menyiram air pada anak2 poko yang kehausan. Dia masih yakin pokok2 yang hampir rosak itu masih mampu bertahan, kerana akarnya dan beberapa dahan masih tidak diserang oleh ulat.

Kamal masih yakin dengan usahanya. Dan dia yakin itu adalah jalan yang terbaik. Kamal berasa menyesal dan tidak akan lagi meninggalkan kebunnya walaupun sehari. Cukuplah untuk dia pulang dan berahat. Kerja2 rawatan ranting dan dahan dilakukan tiap2 hari.

Oleh kerana Kamal sibuk merawat ranting2 pokok yang hampir dan telah rosak, dia terlupa menabur baja untuk bekalan dan makanan untuk akarnya.

Isteri Kamal mula berasa bimbang. Suaminya semakin hari semakin tidak bermaya. Hari2 pulang dalam keadaan yang amat letih. Dia mengambil langkah untuk menelefon Jabatan Kementerian Kebun untuk datang melihat kebun suaminya.Isterinya menceritakan sedikit kepada mereka mengenai permasalah yang berlaku di kebun suaminya.

Selepas menunaikan solat zohor di pondok kebunnya, kamal terkejut kerana sebua jip hitam bergerap menghampiri kebunnya. Sekilas pandang, seperti jabatan kementerian yang datang.

3 Orang lelaki turun dari kereta jip tersebut. Kamal berjumpa dengan lelaki2 tersebut. Rupa-rupanya mereka adalah pegawai dari Jabatan Kementerian Kebun. Pegawai tersebut mengatakan yang isterinya yang membuat panggilan. Dan menceritakan apa yang dikhabarkan oleh isterinya.

Akhirnya, kamal menceritakan segala yang melanda kebunnya. Dari mula hinggalah keadaan yang sedang berlaku. Sekarang pokok yang ditanam pada awalnya adalah 100, sekarang yang berbaki hanyalah 10 batang pokok sahaja. Suasana sayu melanda ketika Kamal menceritakan keadaan kebunnya.

Pegawai2 tersebut cuba menenangkan Kamal. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Apabila keadaan kembali biasa. Mereka keluar minum di warung berhampiran. Mereka berbual. Topik utama meraka adalah mengenai 'Kebun'.

Awan lamunan kamal 10 tahun lepas tiba2 berkecai akibat terdengar buah durian gugur dari dahan.

Perkara yang Kamal paling ingat dan terkesan adalah satu ayat gurauan  pegawai Jabatan Kementerian Kebun di warung.
" Kenapa awal2 ulat tu serang kat ranting tak patahkan saje ranting tu?"
Walaupun simple gurauan itu, maksudnya memang betul2 mendalam.




3:110
'Ku Doakan DiriMu Agar Jadi Yang Terbaik'

Sunday, November 14

Bunga Korea Dari Langit

Pilih bunga kerana rindu pada bunga~  Design

Kaki ahmad berasa sangat lenguh. Dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar di bangku rehat. Lebih 2 jam dia berjalan di susuran kedai bunga. Dia ingin mencari sepohon bunga yang paling cantik di taman bunga itu untuk ibunya. Esok sambutan hari kelahiran ibunya.

Rasa menyesal yang teramat menyelubungi diri ahmad. 3 pohon bunga yang sangat cantik telah terlepas. Susah nak cari balik bunga yang dia jumpa sebelum ni. Lagipun masa yang diberikan oleh ketua rombongan itu berbaki 30 minit sahaja lagi. Bas rombongan pun akan tunggu kami di pintu belakang taman.

Ahmad teringat satu cerita yang dia baca di blog rakannya. Cerita mengenai seorang guru menyuruh anak muridnya mencari sehelai rumput yang paling cantik di padang sekolah. Dengan syarat, tidak dibenarkan berpatah balik. Akhirnya, di penghujung padang, tidak seorang pun yang dapat sehelai rumput yang paling cantik.

Gurunya bertanya kepada mereka, "mengapa kalian tidak dapat rumput yang cantik?". Mereka berkata, "kami dah jumpa yang paling cantik, tapi dah terlepas. Ingatkan di depan ada lagi yang paling cantik. huh..". Gurunya memberi kesimpulan. "Jika kita menjumpai sesuatu yang baik, cubalah kita hargainya. Sebab, mungkin yang baik kita jumpa itu adalah yang terbaik."

Ahmad memandang ke arah rakannya yang lain. Semua telah memperoleh bunga yang sangat cantik. Rupa2nya, 3 bunga yang sebelum ini Ahmad jumpa telah habis dibeli pengunjung. Masa berbaki 10 minit sahaja lagi untuk bas bergerak ke arah destinasi seterusnya.

"Adakah Aku melakukan kesilapan sebab tidak mengambil pengajaran dengan cerita murid dan guru nya." getus  hati ahmad. Dia cuba lagi mencari bunga yang sesuai untuk ibunya.

Puas Ahmad mencari. Tetap tidak jumpa. Akhirnya, ketua rombongan telah memanggil semua ahli rombongan.

 Tiba di kaunter keluar, seorang pekebun mengeluarkan beberapa pohon pokok Korea.Ahmad bertanya harga pokok itu. Harga promosi RM50 sepohon. Ahmad terus membeli pokok Korea tersebut.

Macam bunga turun dari langit. Tiada yang mustahil, itu semua ALLAH yang punya. Sabar dan benar.






3:110
'Ku Doakan DiriMu Agar Jadi Yang Terbaik'

Monday, August 2

Analogi : Air Dan Sayang



Air

Satu molekul yang sangat lembut. Terdiri daripada atom Hidrogen dan Oxygen. Dengan nisbah 2:1. Sungguh mudah untuk dileraikan. Tapi, bila dua atom ini terus bergabung dengan kuantiti yang banyak, tidak ada satu benda pun yang mampu menghalang mereka daripada terus melakukan fitrah mereka. Mengalir. Itulah fitrah air.

Tidak ada satu objek pun yang mampu mengahalang terus air ini daripada mengalir. Pokok, batu kecil, batu besar, bukit, bahkan gunung yang sebesar-besar objek pun tiada kemampuan untuk menghalang fitrah air mengalir. Cuba kita letak seketul batu yang besar di dalam sungai kecil yang mengalir. Apa akan terjadi?? (Bayangkan) Dah dapat? Haa, pasti akan terbentuk dua saluran sungai di bahagian tepi batu tersebut kan. Hemm, memang tak boleh dihalang.

Ada Tangan Yang Gatal

Walaupun kehebatan molekul air ini telah terbukti hebatnya, namun masih ada lagi mereka2 yang gatal tangannya untuk menghalang fitrah aliran air. Empangan.

Apakah mereka tidak tahu betapa bahayanya menghalang aliran air. Yang merupakan fitrah kejadian air. Apakah mereka tidak menjangkakan, empangan itu boleh pecah dan mengakibatkan keadaan yang lebih teruk akan berlaku? Dan adakah mereka tidak berfikir, apa kesannya jika air yang diempang itu melimpah ke tidak tentuan hala?
Di manakah saintis dan arkitek? apakah mereka tidak mengkaji? Jika mereka mengakji, mengapa terus membina empangan itu juga?

Belajar Sesuatu

Sebenarnya, dengan air kita boleh belajar sesuatu kan..?
Cuba rasakan, dalam jiwa atau hati kita mesti ada sesuatu yang sedang mengalir. Yup, perasaan yang sedang mengalir. Macam2 bentuk aliran yang wujud. Perasaan benci, sayang, suka, tak suka, cinta, bermusuhan.

Ada satu perasaan yang sungguh menarik. Perasaan Sayang. Yes, dengan perasaan ini..Seluruh makhluk di atas muka bumi ini akan sentiasa berkomunikasi. Tak kira dalam alam nyata ataupun alam fantasi. Bertentang mata ataupun hubungan doa. Pasti akan terus berhubung. Perasaan ini juga yang menyebabkan kita beramal dengan satu ayat ALLAH " Sesungguhnya, Mukmin itu bersaudara"

Saintis dan Arkitek

Bagaimana pulak dengan mereka, apakah mereka tidak tahu bahayanya. Ataupun, mereka ada cara untuk menyelesaikan masalah2 yang akan timbul? Atau, mereka sengaja mencipta empangan itu untuk mendapatkan faedah yang lebih besar?

Mengalirkan air ke kwasan perumahan. Kawasan sawah padi. Menjana elektrik.

Itulah fungsi2 nya.

Perasaan Sayang

Jadi, apakah bisa kita menghalang perasaan ini daripada terus mengalir di dalam hati kita? Boleh jawapannya. Tapi mesti memenuhi syarat2nya. Jika tidak, rosak sebahgian jiwa dan hati kita. Nakkah kita digelar orang yang tidak ada nilai kasih sayang? Huh, mesti hidup terseksa.

Jika nak menghalangnya, pastikan ada sesuatu yang kita wajib sediakan. Saliran. Salirkan nilai kasih dan sayang itu ke suatu tempat yang terbaik. Jika tiada, takut2 bila kesan jangka masa panjang nya, perasaan itu melimpah ke tempat yang tidak sepatutnya. Lebih teruk jika penghadang yang kita gunakan tu pecah. Lagi teruk. Lebih baik kita buat saliran awal2. Alirkan perasaan itu ke arah yang sebetulnya. Dan terbaik.

Hebatnya Sayang

Kehebatan perasaan ini adalah kerana ianya merupakan salah satu aspek yang perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi ataupun kelompok. Kerana dengan adanya sayang, maka akan wujudnya toleransi, saling memahami, sanggup berkorban dan pelbagai lagi nilai2 yang mampu meningkatkan organisasi.

Jika kehilangannya, habis punah ranah organisasi tersebut. Ketidak saling memahami, bekerja dengan tidak sependapat, memperbesarkan masalah2 kecil dan segala hal yang mampu menghancurkan sesebuah organisasi. Inilah apa yang dikatakan oleh Syeikh Musthafa Masyhur dalam sebuah tajuk 'Bantuan untuk Pemimpin Menjayakan sesebuah Organisasi'

ALLAH Menunjukkan Satu Contoh

ALLAH mengatakan, "tidak sempurna iman seseorang itu, jika Ibu bapa, harta kekayaan, anak2 lebih disayangi daripada ALLAH dan RasulNYA" ALLAH suruh kita sayang dan cinta kepadaNYA. Adakah ALLAH hanya menyuruh? Tidak sama sekali. ALLAH menunjukkan cara untuk kita membuktikan cinta kita kepada NYA. "Tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU" Ini lah caranya. ALLAH suruh kita beribadah untuk membuktikan kecintaan kita kepada NYA.

Konklusi

Perasaan sayang boleh kalau nak halang. Tapi mesti ada saliran yang terbaik untuk disalirkan. Jika tidak, perasaan itu tersalur kerarah kemaksiatan (Nau'zubillah). Dan semua jenis perasaan yang ada dalam jiwa kita juga begitu. Hindarkan daripada menghalang. Dan cubalah salurkan ke arah yang di suruh oleh ALLAH. Cintalah, Bencilah, Sayanglah hanya kerana ALLAH.

"Sungguh ajaib orang yang beriman itu, setiap apa yang dilakukan dikira baik." Pastikan, semua yang kita buat ketika dalam kita beriman. Baru boleh jadi ajaib dan Terbaik~!





3:110
"Ku Doakan DiriMu Agar Jadi Yang Terbaik"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...