Showing posts with label Antara Special. Show all posts
Showing posts with label Antara Special. Show all posts

Wednesday, March 6

Tentang Abang Ipar Saya (Zaid Ibrahim)





Mula-mula tulis post ini untuk bagi ucapan birthday untuk abang ipar saya, Zaid Ibrahim. Tapi rupa-rupanya dia letak tarikh birthday kat fb dia tarikh yang salah. Habis tertipu.




Jadi malas pulak nak delete macam tu je..Saya tukar tajuk post ini kepada "Tentang Abang ipar saya"




----------------------------------------------------------------------------------------


6 Mac. Birthday abang ipar saya. Abg zaid ^_^


Happy birthday to you~

Semoga ALLAH sentiasa redha sama kamoo.


Abang zaid merupakan suami kepada kakak saya yang pertama, Asma’ shamjuddin.

Dulu dia kurus.
Tahun pertama perkahwinan dah mula ‘hamil’ :P
Tahun kedua dah mula steady balik.
Tahun ke-3 ni katanya nak ‘shape’ kan balik body. (harap-harap Berjaya) amen.

Kami pernah berjiran time kecik2 dulu di Segamat, Johor. (Mungkin diorang dah pendam cinta dari dulu ) kidding~

Abang zaid bukan sahaja berkahwin dengan kakak saya, malah beliau kahwin dengan keseluruhan ahli keluarga kami.

Awal-awal agak susah untuk menggunakan ‘kita awak’ dalam kata ganti nama sesama adik-beradik (sweet kan kami guna ‘kita awak’ ? :P ), tapi sekarang dah boleh dah.
Ini pun disebabkan abg zaid pandai menukar dari ‘perasaan hubungan sebagai kawan’ kepada ‘perasaan hubungan adik beradik’.


Sempena birthday abang zaid ni..
Doakan supaya dia dapat ‘tough’kan badan.
Dapat istiqmah dalam percintaan dengan kak asma’.
Dapat keputusan cemerlang dalam exam.

Semoga kita berkeluarga hingga hujung nyawa~
Dan dapat sama-sama masuk syurga.

--------------------------------------------------
Abang zaid : 'body shape' macam gambar ni pun smart dah ^_^



Thursday, February 14

Sajak Ukhuwwah Sang Perantau (Hilal Asyraf)





Tajuk : Ukhuwwah Sang Perantau.
Ciptaan : Hilal Asyraf.

Indah,
Dalam hidup dia mengalir,
Daripada keimanan dia terbina
Ukhuwwah, itulah namnya.

Di sini, bersama kami bersama,
Kongsi gembira di tanah jauh,
Jauh dari saudara dan keluarga,
Tetapi gembira... gembira kami gembira,
Kerana teman wujud di sisi kita.

Jangan, jangan dihilang jangan,
Ukhuwwah ini biar perpanjangan,
Hingga ke syurga nanti,
Kami berpimpinan tangan.


Tuesday, January 8

Artikel copy : Tarbiyyah Dzatiyah

Tajuk : Tarbiyah Dzatiyah
Penulis : Azmi Bin Bahari (Abu Umar Of Langit Ilahi)
Karya Asal : http://my.opera.com/azmibhr/blog/2011/05/19/tarbiyyah-dzatiyah-full

Alhamdulillah, dengan izin Allah, perbincangan berkaitan Tarbiyyah Dzatiyah ini dapat juga disiapkan. 


Bagi saya perbincangan ini cukup penting.Tidak mungkin kita dapat membangunkan keperibadian mukmin yang sebenar dengan hanya sekadar bergantung kepada Tarbiyyah Rasmiyyah (Pendidikan Formal) melalui tamrin, halaqah, usroh dan sebagainya. Berapa, masa yang kita peruntukkan untuk tarbiyyah Rasmiyyah? 10 jam seminggu? Katakan 10 jam seminggu, ini bermakna 10 per 168 jam. tidak sampaipun 10% dari hidup kita. Bohongilah diri kita, katakan 10%: Adakah kita harapkan dengan 10% itu kita akan akan menjadi seperti sahabat-sahabat Rasul RA; hidup dan mati diatas kebenaran dan memiliki iman yang begitu hidup serta keperibadian yang begitu mulia? Adakah dengan 10% itu kita ingin membeli SYURGA Allah SWT.


Jika tarbiyyah tidak sentiasa berjalan dalam diri kita, kita akan semakin jauh dari apa yang Allah kehendaki keatas kita. Kita akan semakin jauh dari redha dan pengampunanNya dan semakin jauh dari syurgaNya.


Muqaddimah


Mengapa sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang kebanyakannya buta huruf (tidak tahu membaca dan menulis) mampu tampil menjadi peribadi-peribadi yang hebat dengan ciri-ciri khas dan kelebihannya masing-masing? Padahal jika dilihat dan diperhatikan baik-baik, guru mereka sama, iaitu Rasulullah SAW dan Islam yang diajarkan baginda kepada mereka juga satu.


Mungkinkah kerana adanya Rasulullah SAW? Kalau kerana adanya Rasulullah secara fizikal bersama mereka menjadi sebab untuk tumbuhnya ummat yang benar-benar mentauhidkan Allah SWT itu tentunya Allah SWT tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai Rasul terakhir. Tentunya ada Rasul-Rasul lain yang menyebarkan agama tauhid ini.


Barangkali diantara rahsianya ialah kerana masing-masing dari sahabat Rasul tersebut mampu mentarbiyyah (membina) diri mereka sendiri dengan optimal, meningkatkan kualiti diri menuju tingkatan seideal mungkin, mengadakan perbaikan diri dengan penuh komitmen dan berterusan serta meningkatkan semua potensi mereka hingga tidak ada satu pun potensi mereka yang terabai.


Rangkaian proses tersebut inilah yang diistilahkan dengan Tarbiyyah Dzatiyah. 


Definisi Tarbiyyah Dzatiyah


Tarbiyyah Dzatiyah adalah sejumlah sarana (tuntutan dan keperluan) tarbiyyah yang diberikan oleh seorang muslim atau muslimah kepada dirinya untuk membentuk keperibadian Islami yang sempurna pada seluruh aspek kehidupannya; ilmu, iman, akhlaq, sosial, dan sebagainya lalu mereka sentiasa meningkat ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia.


Pendek kata, Tarbiyyah Dzatiyah merupakan tarbiyyah seseorang terhadap diri sendiri dengan dirinya sendiri. Tarbiyyah Dzatiyah ini berlaku apabila seorang muslim atau muslimah itu memahami tarbiyyah secara konseptual serta menterjemahnya kepada bentuk praktikal lalu dengannya ia memperbaiki kualiti diri, mencorakkan keperibadiannya dengan bercontohkan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya serta menyalakan api semangat untuk sentiasa meningkatkan diri sendiri.


Kesemua ini akan mendekatkan dirinya kepada keredhaan Allah SWT serta mampu untuk istiqamah di atas jalan yang benar serta mendapatkan syurgaNya.


Peribadi-peribadi begini akan lebih dicintai dan diterima Allah bahkan akan merasakan kebahagiaan, ketenteraman, keamanan dan ketenangan jiwa dibawah bimbingan Allah dalam setiap langkah kehidupannya serta terjaga dari keburukan dan hal-hal yang tidak disukai, mendapat keberkatan dalam waktu dan harta serta sabar di atas berbagai penderitaan dan ujian yang merintangi perjalan menuju redha Allah SWT.


Tarbiyyah Dzatiyyah & Kewajiban Dakwah Islamiyyah


Rasulullah SAW diutuskan sebagai “Rahmatul lil ‘alami’ (rahmat untu sekelian alam). Kebenaran Islam adalah sarana tunggal yang akan mendekatkan manusia kepada kebahagiaan dan kemuliaan dunia dan akhirat. Kebenaran Islam yang berada di dalam jiwa kita ini adalah hak yang perlu dikongsikan oleh semua insan tanpa mengira warna kulit dan bahasa.


Rasulullah SAW adalah Rasul tarbiyyah dan dakwah. Rasululllah tidak hanya mendidik sahabat-sahabat dirumah Arqam bin Abi al Arqam tetapi baginda telah membangunkan satu barisan pendakwah yang akhirnya telah menyebarkan cahaya kebenaran Islam ke seluruh pelusuk dunia.


Sejarah juga mengajar kita bahawa tabiat deen Allah ini adalah sentiasa berkembang dan menyebar ke berbagai pelusuk dunia. Misi deen Allah ini adalah menyebarkan rahmat bagi dunia untuk seluruh umat manusia (Al-Anbiya’: 107). Dengan begitu kebenaran Islam menjadi hak semua orang agar mereka meraih hidayah Allah. Seharusnya seluruh penghuni alam ini mendapat nikmat dari usaha dakwah. Paling tidak, semua manusia dapat merasakan rahmat Islam. Keadaan ini dapat dipengaruhi dengan adanya sekelompok manusia yang memahami, menghayati serta menyebarkan (mendakwahkan) Islam keseluruh pelusuk alam.


Setiap dari kita yang mendapat sentuhan iman ini seharusnya memiliki keperibadian tertentu serta mampu meningkatkan diri serta menyebarkan kebenaran Islam ini keseluruh pelusuk alam. Kita perlu membangunkan diri kita sebagai Rijalun ‘Aqidah (pendokong aqidah) yang merasa bertanggungjawab untuk menyebarkan risalah Iman ini kepada sesiapa sahaja yang kita temui. 


Kita perlu mampu menjadikan diri kita dan seruan kita sebagai dakwah kepada Allah SWT. Pendek kata, kita mampu menjadikan diri kita sebagai da’ie atau pendakwah. Kemampuan untuk mendidik dan membangunkan mukmin dengan ciri-ciri istimewa inilah, juga disebut sebagai Tarbiyyah Dzatiyah atau tarbiyyah mandiri.


Jatidiri Mukmin


Kita perlu membangunkan peribadi yang kukuh seperti mana pokok yang baik; akarnya menghunjam ke bumi dan dahannya memenuhi langit dan mengeluarkan buahnya disepanjang musim. Peribadi ini hanya akan benar-benar terbina dengan tarbiyyah dzatiyah.


Tarbiyyah dzatiyah menjadikan kita mampu bertahan dalam berbagai ujian dan tekanan dalam menghayati dan hidup sebagai mukmin. Kita tidak futur (malas dan lesu), tidak kendur semangat untuk istiqomah diatas kebenaran dan melaksanakan tuntutannya, pemikiran kita tidak jumud dan tidak akan bimbang dan ragu menjawab berbagai tuduhan dan fitnah serta yang sangat diharapkan dari tarbiyyah dzatiyah adalah kita menjadi seorang pendakwah yang mampu menyelesaikan segala persoalan yang menghalangi perjalanan kita meraih kemuliaan di sisi Allah SWT.


Dengan sikap ini kita tidak sangat bergantung pada arahan atau bimbingan secara formal (rasmiyyah). Melainkan kita mampu mengembangkan potensi diri dan dakwah Islamiyah sebagaimana mestinya. Dan dapat mengambil keputusan yang tepat.


Utusan-utusan Rasulullah SAW telah membuktikan dirinya dalam mengembangkan dakwah di berbagai tempat. Mereka dapat bertahan sekalipun jauh dari Rasulullah SAW dan masyarakat muslim lainnya. Ja’far bin Abi Thalib di antaranya. Dia dan sahabat lainnya dapat tinggal di Habsyah dalam waktu yang cukup lama. Sekalipun mereka sangat rindu untuk berkumpul bersama dengan saudara muslim lainnya, mereka dapat mempertahankan dirinya dalam keimanan dan ketaqwaan. Begitu kuatnya daya tahan mereka hidup bersama dakwah jauh dari saudara-saudaranya yang lain dalam waktu yang cukup lama. Hingga Rasulullah saw. begitu bangga terhadap mereka disaat mereka pulang ke Madinah. Baginda menyatakan, “Aku bingung apa yang membuatkan riangnya diriku, apakah kerana menangnya kita di Khaibar ataukah kembalinya kaum muslimin dari Habsyah.”


Demikian pula Mus’ab bin Umair sebagai duta Islam pertama dapat mengembangkan dakwah di Madinah dan berhasil membangun masyarakat di sana. Mus’ab sebagai guru pertama di Madinah dapat memperluas jaringan dakwah. Sehingga tempat itu menjadi asas pertumbuhan umat Islam di kemudian hari bahkan menjadi mercutanda peradaban Islam.


Begitulah keperibadian yang menjadi asas kepada kegemilangan Islam dan sejarah kemanusiaan. Mereka dapat menunaikan tugas tersebut dengan sebaik-baiknya. Lantaran Tarbiyyah Dzatiyah yang ada pada diri mereka. Malah banyak tugas-tugas lain dapat diselesaikan dengan cemerlang.


Sebaliknya peribadi-peribadi lemah yang tidak mampu meningkatkan diri mereka akan tenggelam ditelan masa, tunduk kepada nafsu dan disibukkan oleh urusan yang remeh temeh bahkan sentiasa melibatkan diri dalam perbalahan-perbalahan yang tidak membuahkan amal.


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Anfal: 27)


Urgensi Tarbiyyah Dzatiyah

Setidaknya ada 8 Urgensi tarbiyyah dzatiyah pada zaman sekarang ini: (1) Menjaga diri mesti didahulukan daripada menjaga orang lain, (2) Jika Anda tidak mentarbiyyah diri Anda, siapa yang mentarbiyyah Anda? (3) Hisab kelak bersifat individual, (4) Tarbiyyah dzatiyah itu lebih mampu menghasilkan perubahan, (5) Tarbiyyah dzatiyah adalah sarana untuk tsabat dan istiqamah, (6) Sarana dakwah yang paling kuat, (7) Cara yang benar dalam memperbaiki realiti yang ada, dan (8) Kerana keistimewaan tarbiyyah dzatiyah.


1. Menjaga diri mesti didahulukan daripada menjaga orang lain


Tarbiyyah seorang muslim terhadap dirinya tidak lain adalah upaya melindunginya dari siksa Allah ta'ala dan neraka-Nya. Tidak diragukan lagi, menjaga diri sendiri mesti lebih diutamakan daripada menjaga orang lain. Ini sama dengan apa yang dikerjakan seseorang jika kebakaran terjadi di rumahnya –semoga itu tidak terjadi-, atau di rumah orang lain, maka yang pertama kali ia fikirkan ialah menyelamatkan rumahnya dulu. Hakikat ini ditegaskan Allah ta'ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ


Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. (QS. At-Tahrim : 6)


Erti menjaga diri dari neraka, seperti dikatakan Ibnu Sa'di rahimahullah, ialah dengan mewajibkan diri mengerjakan perintah Allah ta'ala, menjauhi larangan-Nya, bertaubat dari apa saja yang dimurkai-Nya dan mendatangkan siksa. Inilah makna tarbiyyah dzatiyah dan salah satu tujuannya.


2. Jika Anda tidak mentarbiyyah diri Anda, siapa yang mentarbiyyah Anda?


Siapa yang mentarbiyyah seseorang ketika ia berusia lima belas tahun, dua puluh tahun, tiga puluh tahun, atau lebih? Jika ia tidak mentarbiyyah diri sendiri, siapa yang mentarbiyyahnya? Atau jika tidak ada pihak lain yang mempengaruhinya? Sebab, kedua orang tuanya secara khusus, atau manusia secara umum berkeyakinan ia telah dewasa, lebih tahu apa yang lebih mendatangkan maslahat bagi dirinya, atau mereka sibuk dengan pekerjaan mereka, hingga tidak ada waktu untuk mengurusnya.


Walhasil, jika ia tidak mentarbiyyah diri sendiri, ia kehilangan waktu-waktu ketaatan dan saat-saat untuk melakukan kebaikan. Hari dan umur terus berganti, sedang ia gagal mengetahui titik lemah dirinya dan ketidakberesannya. Akibatnya, ia rugi ketika kematian menjemput. Allah ta'ala berfirman,


يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ


(Ingatlah) hari Allah mengumpulkan kalian pada hari pengumpulan (QS. At-Taghabun : 9)


3. Hisab kelak bersifat individual


Hisab pada hari kiamat oleh Allah ta'ala kepada hamba-hamba-Nya bersifat individual, bukan bersifat kolektif. Artinya, setiap orang kelak dimintai pertanggungjawaban tentang diri atau buruknya, sekalipun ia mendakwa orang lain menjadi penyebab kesesatan dan penyimpangannya. sekalipun ada dakwaan seperti itu, mereka wajib dihisab bersama dirinya. Allah ta'ala berfirman,


وَكُلُّهُمْ آَتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا


Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri (QS. Maryam : 95)


Allah ta'ala berfirman,


وَكُلَّ إِنْسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنْشُورًا * اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا


Dan setiap manusia telah Kami tetapkan amal perbuatannya di lehernya dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat kitab yang dijumpainya terbuka. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu. (QS. Al-Isra' : 13-14)


Disebutkan di hadits bahwa Rasulullah SAW bersabda:


مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلاَّ سَيُكَلِّمُهُ رَبُّهُ ، لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ تُرْجُمَانٌ


Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhannya, tanpa penterjemah antara dirinya dengan-Nya (Muttafaq alaih)


Kerana itu, barangsiapa mentarbiyyah dirinya, insya Allah hisabnya diringankan dan ia selamat dari siksa, dengan rahmat Allah ta'ala.


4. Tarbiyyah dzatiyah itu lebih mampu menghasilkan perubahan


Setiap orang pasti memiliki ke‘aiban, kekurangan, atau melakukan kelalaian dan maksiat, baik maksiat kecil atau dosa. Jika masalahnya seperti itu, ia perlu memperbaiki seluruh unsur negatif dirinya sejak awal, sebelum unsur-unsur negatif tersebut membengkak. Dan, seseorang tidak dapat memperbetulkan kesalahan-kesalahannya atau memperbaiki ‘aib-‘aibnya dengan sempurna dan berterusan jika ia tidak melakukan upaya perbaikan dengan tarbiyyah dzatiyah.


Ini kerana ia lebih tahu diri sendiri dan rahsianya. Ia lebih tahu kekurangannya dan ‘aib-‘aibnya sendiri. Jika ia menginginkan pembinaan dirinya, ia juga lebih mampu mengendalikan dirinya menuju manhaj tertentu, perilaku utama, dan gerakan yang bermanfaat.


5. Tarbiyyah dzatiyah adalah sarana untuk tsabat dan istiqamah


Setelah bimbingan Allah ta'ala, tarbiyyah dzatiyah adalah sarana pertama yang membuat muslim mampu tsabat (tegar) di atas jalan iman dan petunjuk, hingga akhir kehidupannya. Tarbiyyah dzatiyah juga garis pertahanan terdepan dalam melawan beragam fitnah dan bujuk rayu, yang menyerang kaum muslimin dewasa ini dan membujuknya dengan kuat dan berterusan untuk menyimpang, gugur (dari jalan dakwah), futur, malas, merasa takut akan masa depan, dan putus asa dengan realiti masa kini.


Di aspek ini, perumpamaan tarbiyyah dzatiyah seperti pohon, yang jika akar-akarnya menancap kuat di bumi, maka pohon tersebut tetap kokoh, sekalipun diterpa angin dan badai.


6. Sarana dakwah yang paling kuat


Secara dasarnya, setiap muslim dan muslimah adalah da’i ke jalan Allah ta'ala. Ia memperbaiki keadaan yang ada, mengajar, memberi taujih, dan mentarbiyyah. Agar ia diterima manusia, baik sanak saudaranya atau orang yang jauh darinya, dan mempunyai kekuatan melakukan perbaikan dan perubahan di kehidupan mereka, ia perlu bekal dan kekuatan. Dan, cara efektif untuk mendakwahi mereka dan mendapatkan respon mereka ialah ia menjadi qudwah yang baik dan teladan yang istimewa dalam aspek iman, ilmu, dan akhlak. Qudwah tinggi dan pengaruh kuat tersebut tidak dapat dibentuk oleh sekian khutbah dan ceramah saja. Namun, dibentuk oleh tarbiyyah dzatiyah yang benar.


7. Cara yang benar dalam memperbaiki realiti yang ada


Adakah diantara kaum muslimin yang tidak merasa prihatin dengan kondisi yang ada pada umat Islam, di berbagai aspek di kehidupan mereka, baik aspek keagamaan, ekonomi, politik, sosial, atau aspek-aspek lainnya? Jawabnya, tentu tidak ada.


Tapi bagaimana caranya memperbaiki realiti pahit yang dialami umat kita sekarang? Apa langkah efektif untuk melakukan pengislahan? Dengan ringkas, langkah tersebut dimulai dengan tarbiyyah dzatiyah, yang dilakukan setiap orang dengan dirinya, dengan maksima, syamil, dan seimbang. Sebab, jika setiap individu baik, baik pula keluarga, biidznillah. Lalu, dengan sendirinya, masyarakat menjadi baik. Begitulah, pada akhirnya realiti umat menjadi baik secara total, sedikit demi sedikit.


8. Kerana keistimewaan tarbiyyah dzatiyah


Urgensi tarbiyyah dzatiyah lainnya mudah diaplikasikan, sarana-sarananya banyak, dan selalu ada pada kaum muslimin di setiap waktu, kondisi, dan tempat. Ini berbeda dengan tarbiyyah ammah yang punya waktu-waktu tertentu, atau tempat-tempat khusus.


Beberapa Fokus Tarbiyyah Dzatiyah


Adapun aspek-aspek yang perlu ditingkatkan setiap mukmin dalam tarbiyyah dzatiyah terhadap dirinya meliputi:


1. Ar-Ruhiyah (Spiritual)


Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap mukmin untuk meningkatkan ketahanan ruhiyahnya. Sehingga ia tidak lemah dalam melaksanakan segala taklif robbani (tanggungjawab keimanan). Ruhiyah yang kukuh menjadi variable yang sangat penting dan berpengaruh. Betapa perlunya setiap mukmin memiliki program yang terancang dalam menjaga ketahanan ruhiyah. Seperti merutinkan diri untuk solat berjamaah di masjid, berpuasa sunat, qiyamullail, sedekah, ziarah kubur ataupun aktiviti lainnya yang memberi kesan pada kesihatan rohaninya.


Dengan usaha ini insyaAllah dari sudut maknawiyah atau hakikinya kita tidak lemah atau bermuka-muka. Keadaan maknawiyah yang rapuh akan memberi kesan negatif hingga melahirkan amal yang murahan dan tidak menjadikan redha Allah sebagai matlamat.


Disamping itu, seorang mukmin perlu mencermati naik turunnya ruhaniyah diri mereka sendiri. Bahkan sedapat mungkin mempunyai standard piawaian yang benar untuk menilai segala tingkahlaku atau amalan dalam kehidupannya.


Ambillah pelajaran dari sikap para sahabat dalam mentarbiyyah ruhiyah mereka masing-masing. Ada yang selalu menjaga keadaan diri agar selalu dalam keadaan berwudlu’. Ada pula yang sentiasa mengunjungi orang yang sedang mengalami kesusahan hidup. Ada juga yang menziarahi kuburan untuk mengingati mati dan berbagai usaha lainnya. Ambillah nasihat Umar ibnul Khathtab RA, “Hitung-hitunglah dirimu sebelum kamu dihisab Allah swt. di hari Perhitungan”


2. Al-Fikriyah (Pemikiran)


Pada dasarnya pemikiran manusia perlu sentiasa bekerja agar tidak mengalami kejumudan berfikir. Untuk memenuhi tuntutan tersebut tidaklah cukup menghadkan muatan pemikiran dari majlis tarbiyyah yang tertentu sahaja. Akan tetapi dapat mencari berbagai sumber penggalian ilmu untuk berfikir. Mampu menelaah kitab, menghadiri acara kajian ilmiah ataupun kegiatan peningkatan wawasan lainnya.


Telah banyak paparan nas dari Al-Qur’an ataupun Hadith yang menyarankan untuk meningkatkan kemampuan berfikir dengan melakukan pengamatan dan pengkajian. Sehingga pemikiran kita sentiasa dalam pencerahan bahkan selalu dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Dengan ini kita akan sentiasa berkembang dan menjadi pintu gerbang kemajuan intelektual. Maka, adalah wajib bagi seorang mukmin untuk membaca buku beberapa jam dalam setiap hari serta memiliki perpustakaan peribadi di rumahnya walaupun kecil.


3. Al-Maaliyah (Material)


Islam juga menuntut kekuatan material atau kebendaan. Oleh itu setiap mukmin harus memiliki kemampuan keusahawanan agar tidak menjadi beban kepada orang lain. Ini harus menjadi ciri-ciri yang mensifati seorang mukmin. Ia harus memiliki kemampuan mencari penghidupan bagi dirinya (qadirun alal kasabi).


Para sahabat yang diredhai Allah swt. telah memberikan pelajaran pada kita semua bahawa mereka tidak menjadi beban bagi saudara mereka. Kaum Muhajirin yang datang ke Madinah tidak membawa apa-apa, namun mereka tidak dengan mudah menerima bantuan kaum Anshar. Kaum Muhajirin mampu mengembangkan potensi maaliyah dirinya. Mereka pun akhirnya dapat hidup sebagaimana layaknya malah ada yang lebih baik dari kehidupannya di Mekkah.


4. Al-Maidaniyah (Penguasaan Lapangan)


Penguasaan lapangan juga hal sangat penting bagi perkembangan dakwah ini. Seorang mukmin seharusnya memahami keadaan masyarakat yang digaulinya. Ia benar-benar memahami segala permasalahan serta sepak teranjang masyarakat disekitarnya supaya ia mampu menyesuaikan diri dan mencari peluang-peluang atau pintu-pintu untuk memasukkan Iman kepada jiwa masyarakat. Penguasaan lapangan yang cepat dan tepat nenbolehkan ia menyusun taktik dan strategi yang tepat untuk menyebarkan risalah kebenaran ini. Pengenalannya yang bagus dapat menentukan strategi apa yang sesuai dan praktikal bagi masyarakat yang didepaninya.


Maka ketika para sahabat berada di tempat yang baru mereka mulai belajar untuk mengenal medan dan lingkungannya. Sehingga perjalanan dakwah mereka berkembang dengan pesat. Seperti dakwah di Madinah oleh Mus’ab bin Umair dan sahabat lainnya.


Dari sinilah setiap aktivis perlu mengenal dengan betul wilayahnya. Sehingga dapat mengenalpasti dengan cepat mana satu peluang dakwah dan mana pula yang menjadi penghalangnya. Sehingga ia dapat mempersiapkan diri untuk keadaan tersebut. Bila menemui halangan ia dengan cepat menyelesaikan dan mencari jalan keluarnya.


5. Al-Harakiyah (Gerakan Dakwah)


Penguasaan harakiyah pun menjadi aspek Tarbiyyah Dzatiyah yang perlu diperhatikan sehingga setiap mukmin dapat mengekalkan keseimbangan dan kelajuan dakwahnya. Ini mungkin terjadi apabila seorang mukmin itu dapat menyelami seni dan liku-liku perjalanan dakwah serta pergerakannya. Pemahaman terhadap gerakan dakwah yang tepat akan melahirkan sikap pendakwah yang mengerti benar tentang sikap apa yang harus dilakukan untuk kepentingan dakwah.


Sebagaimana yang dilakukan Hudzaifah Ibnul Yaman ketika masuk ke tengah barisan musuh. Ketika malam yang gelap dan mencekam seperti itu, Abu Sufyan sangat khuatir pasukannya intip. Sehingga ia mengumumkan agar seluruh perajurit seharusnya mengenali siapa yang ada di kiri kanannya. Setelah selesai memberikan arahan itu Hudzaifah lantas memegang tangan orang yang ada di sisi kanan dan kirinya sambil menanyakan siapa engkau. Tentu saja mereka menjawab saya fulan bin fulan. Dengan kepantasan dan kebijaksanaannya itu, Huzaifah tidak ditanya orang.


Sasaran Tarbiyyah Dzatiyah


Sasaran yang hendak dicapai dari Tarbiyyah Dzatiyah bagi seorang mukmin dan perkembangan dakwah adalah sebagai berikut:


1. Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyah Al-Mutaharikah (Keperibadian Aktivis Islam)


Tidak dapat dinafikan bahawa Tarbiyyah Dzatiyah membangunkan keperibadian aktivis atau pendokong Islam. Iaitu peribadi yang merasa bertanggungjawab untuk memahami dan menyebarkan kefahaman Islam kepada seluruh manusia. Kesedaran untuk menyebarkan risalah tauhid atau risalah keimanan ini pada setiap jiwa yang ditemui.


Bahkan Rasulullah SAW menjadikan hal ini sebagai prasyarat untuk para duta Islam dalam mengembangkan dakwah. Bahkan hal ini menjadi nilai utama dalam pemilihan mereka yang akan menjalani tugasnya sehinggakan setiapkali seseorang akan diutuskan ke suatu tempat, Nabi SAW mempertimbangkan kemampuannya dalam pengembangan integriti dirinya.


Hal ini sebagaimana yang ditanyakan Rasulullah SAW pada Mu’az bin Jabal ketika akan diutus ke Yaman. “Wahai Mu’az, bila kamu berada di tempat yang baru nanti, jika menemui suatu persoalan, apa yang akan kamu putuskan?” Mu’az menjawab, “Aku akan putuskan berdasarkan Kitab Allah.” Rasulullah SAW pun melanjutkan, “Bila tidak kamu temuinya pada Kitab Allah, dengan apa kau putuskan?” Jawab Mu’az, “Aku akan tetapkan berdasarkan Sunnah Rasulullah.” Nabi saw. kemudian menanyakan kembali, “Bila tidak juga kamu dapati di dalamnya, apa yang akan kamu lakukan?” Mu’az menjawab, “Aku akan putuskan dengan akal fikiranku (ijtihadku).” Ternyata jawaban Mu’az sangat memuaskan hati Rasulullah SAW. Malah baginda memandang bahawa kualiti Mu’az sudah memadai untuk memikul tugas mulia tersebut.


Kebolehan yang seperti itu diharapkan mampu menyelesaikan setiap permasalahan yang selalu muncul di lapangan dakwah. Sehingga ia tidak selalu menyerahkan masalah itu pada qiyadah atau pimpinan dakwah ataupun aktivis lainnya. Dengan kemampuan itu aktivis dakwah tidak hilang arah dalam menghadapi berbagai urusan yang terkait dengan tanggungjawabnya. Kerana tanpa sikap itu persoalan dakwah akan bertambah pelik bahkan menambahkan bebanan pimpinan. Telah sering kita dengar pimpinan dakwah mengarahkan agar aktivis tidak selalu mengharapkan jawaban dari pusat atau menunggu arahannya. Bahkan mereka perlu bertindak dengan cepat serta menentukan apa tindakan yang mesti diambil untuk menyelesaikan suatu permasalahan.


Meski demikian kita pun perlu melihat had dan batasannya agar tidak terjebak dalam kerja-kerja yang lemah (dhoi’f) dan bersifat individu. Kerana ini pun akan menimbulkan kekalutan dalam kerja-kerja Islam. Seperti sikap Hudzaifah ibnul Yaman sewaktu ditugaskan Rasulullah SAW menyelinap masuk ke barisan musuh. Hudzaifah RA mendapati Abu Sufyan sedang memanaskan tubuhnya kerana udara dingin. Saat itu Hudzaifah mampu untuk membunuhnya, akan tetapi ia teringat pesan Rasulullah saw. bahawa tugasnya waktu itu adalah memperhatikan keadaan musuh dan melaporkannya kepada Rasul. Sehingga ia menahan diri dari membunuh Abu Sufyan walau kesempatan itu ada di hadapannya.


Kerana itu kita perlu memahami dan mengimbangi segala keperluan dakwah. Kita seharusnya mampu meningkatkan kemahiran serta menguasai lapangan dakwah hingga mampu melahirkan buah fikiran dan tindakan yang sesuai dengan medan yang kita ceburi tanpa mengabaikan syarak atau melakukan sesuatu yang merugikan dakwah. Kemampuan kita ini tidak juga menghilangkan ketaatan dan keterikatan kepada jemaah atau organisasi hingga melahirkan kerja-kerja yang dho’if (lemah) dan bersifat individu. Syeikh Hamid ‘Asykariyah menegaskan, “mereka yang sudah tidak punyai kebaikan (peningkatan integriti diri dan mematuhi arahan pimpinan), mereka telah kehilangan kesedaran terhadap kemuliaan dakwah dan hilangnya ketaatan pada qiyadah(pimpinan). Siapa yang telah kehilangan dua hal ini, maka mereka tidak ada gunanya tetap berada dalam barisan dakwah bersama kita.”


2. Ada’u Mutathallibatil Manhaj (Menyelesaikan Tuntutan Manhaj)


Manhaj tarbiyyah memberikan ruang yang banyak untuk sarana tarbiyyah agar dapat merealisasikannya seoptimal mungkin. Baik melalui Halaqah, liqaat tarbawiyah, daurah, seminar, mukhayyam ataupun tarbiyyah dzatiyah. Untuk memahami, menghayati dan mengaplikasikan manhaj tarbiyyah yang begitu banyak dan padat tidaklah memadai dengan sarana tarbiyyah formal. Kerana keterbatasan waktu ataupun keterbatasan Murabbi dalam menyelesaikan tuntutan manhaj. Maka Tarbiyyah Dzatiyah menjadi sarana untuk menyelaraskan tuntutan manhaj tersebut.


Oleh kerana itu perlu difahami dengan benar pada setiap mukmin agar dapat melakukan Tarbiyyah Dzatiyah dalam dirinya. Hal ini akan sangat membantu mengaplikasikan nilai-nilai tarbawiyah secara maksimum. Dan dapat memenuhi keperluan manhaj yang menjadi acuan dakwah untuk mewujudkan peribadi-peribadi yang mantap dan bersedia memikul amanah dakwah serta mengahrungi perjalanannya yang panjang dan sukar. Apabila setiap mukmin sibuk untuk merealisasikan manhaj dalam dirinya hingga terlahirnya peribadi-peribadi Qur’ani Robbani (Peribadi yang merealisasikan akhlaq al Quran).


Syeikh Abdul Halim Mahmud menyatakan bahawa Tarbiyyah Dzatiyah merupakan tuntutan manhaj dakwah ini. Baik dalam arahannya agar menjadi aktivis dakwah yang siap sedia dalam menyambut tugas dakwah. Juga dalam muatannya yang tidak dapat diberikan secara kolektif kerana berbagai pertimbangan. Namun dimantapkan peribadinya dengan peningkatan kemampuan Tarbiyyah Dzatiyah sehingga tampil pendokong yang siap ke medan dengan merasai kebersamaan Allah.


3. Tarqiyatu Ath Thaqah Adz Dzatiyah (Peningkatan Potensi Diri)


Peranan dan tanggungjawab kader atau aktivis terhadap dakwah sangatlah besar dan signifikan. Kader yang dapat melakukan hal ini adalah mereka yang memahami betul potensi dirinya. Potensi yang dapat bermanfaat bagi perjalanan dakwah.


Menajamkan potensi diri kader menjadi aktivitas rutin. Seharusnya bagi da’ie itu, semakin hari semakin tajam potensi yang dimilikinya. Graf potensinya selalu naik seiring perjalanan waktu. Sebagaimana yang dialami para pendahulu dakwah. Mereka senantiasa berada dalam keadaan puncak dalam setiap pergantian waktu.


Imam Ibrahim Al Harby selalu mengomentari sahabat-sahabatnya dengan ungkapan istimewa, katanya, ‘Aku sudah bergaul dengan fulan bin fulan beberapa waktu, siang dan malam. Dan tidak aku jumpai pada dirinya kecuali ia lebih baik dari kelmarin’.


Layaknya aktivis dakwah dapat mengembangkan diri agar potensi yang dimilikinya betul-betul dapat didayagunakan seoptima mungkin. Sehingga mereka sentiasa berada di garis terdepan. Bahkan sepatutnya dalam kedaan lebih baik dari hari-harinya yang telah berlalu. Keadaan yang teguh dan selalu lebih baik dari kelmarin akan membuatnya istijabah fauriyah (dapat memenuhi panggilan dakwah dengan cepat) yang semakin komplek tuntutannya. Dengan potensi yang demikian, kader dakwah dapat memenuhi kerja yang beragam dalam tugas mulia ini. Kerananya tarbiyyah dzatiyah adalah upaya untuk meningkatkan dan menajamkan seluruh potensi kader dakwah yang beragam.


4. Peningkatan kekuatan diri dalam mematuhi qiyadah. 


Adalah mustahil ummat ini dapat dibangunkan semula tanpa jemaah dan kepimpinan. Tugas dakwah ini tidak dapat dipikul berseorangan. Oleh itu penglibatan dan tugas kitan adalah sebagai anggota yang mampu melakukan peningkatan dan meletakkan diri pada posisi yang betul dalam gerak kerja jamaah. Bahkan seorang sahabat Rasul pernah berkata:“Tidak ada Islam tanpa jamaah, tidak ada jamaah tanpa kepimpinan dan tidak ada kepimpinanan tanpa kekuatan”.


Oleh itu tidak cukup dengan peningkatan diri secara individu tetapi kita juga perlu membangunkan sifat jundi pada diri kita hingga mampu menerima arahan dan keputusan dengan lapang dada.


Yang lebih berbahaya lagi bagi kader dakwah adalah bila tidak memiliki keduanya. Syaikh Hamid ‘Asykariyah menegaskan, bahawa “mereka yang sudah tidak punyai kebaikan (peningkatan integritas diri dan mematuhi rambu-rambu qiyadah). Mereka telah kehilangan kesedaran terhadap kemuliaan dakwah dan kerosakan prilaku taat pada qiyadah. Siapa yang telah kehilangan dua hal ini, maka mereka tidak ada gunanya tetap berada dalam barisan dakwah bersama kita.”


Bagaimana memulakan Tarbiyyah Dzatiyyah


Untuk dapat menjalankan program tarbiyyah dzatiyah hendaknya perlu mempertimbangkan cara-cara berikut:


PERTAMA: Buatlah fokus sasaran tarbiyyah dzatiyah yang akan dilaksanakan oleh masing-masing individu. Misalnya, aspek ruhiyah seperti apa yang diinginkan dengan gambaran dan ukuran yang jelas seperti shalat lima waktu berjamaah di masjid, selalu membaca 1 juz Al Qur’an dalam setiap hari. Demikian pula aspek fikriyah ataupun aspek yang lainnya. Sehingga semakin teranglah fokus yang hendak dicapai.


KEDUA: Setelah menentukan fokusnya maka mulailah memperhatikan sisi prioritas amal yang hendak dilakukan. Aspek mana saja yang akan dilakukan dengan segera. Hal ini tentu melihat pertimbangan keperluan semasa. Misalnya aspek ruhiyah yang utamakan maka buatlah program yang jelas untuk segera dikerjakan.


KETIGA: Sesudah itu mulailah melaksanakan dari hal yang ringan dan mudah dari program yang telah ditetapkan agar dapat dilakukan secara berkesinambungan. 


KEEMPAT: agar dapat menjadi program kegiatan yang jelas tekadkan untuk memulainya dari saat ini dan berdoalah pada Allah SWT. agar dimudahkan dalam menjalankan ikrarnya. 


KELIMA: untuk dapat bertahan terus melakukannya upayakan untuk memberikan denda bila melanggar ketentuan yang telah diikrarkan.

Sunday, December 2

Cinta Sebenar - Impianku




Apa yang kita impikan,
sememangnya tidak semua menjadi kenyataan.
Apa yang kita dambakan,
tidak semestinya akan berada di genggaman.
Apa yang kita pasti,
ALLAH lah pengatur yang terbaik.
Dan segala kebaikan itu,
masih dalam rahsia hikmahNYA.

Sememangnya ALLAH memberi
apa yang kita perlukan.
Dan kadang-kadang,
kita tak mahukan perkara itu.
Namun setelah dia mengetahui rahsia hikmah
pemberianNYA,
sujud syukur yang pergerakan utamanya.
tanda perhambaan segala nikmatNYA.

Engkau tidak ingin berjanji,
dan Aku juga tidak perlukan janjian.
Kerana perjanjian itu adalah seakan lubang jahanam,
dan seringkali manusia terperangkap di dalamnya.
Maka aku tidak suka manuisa yang suka mengorek lubang itu,
kerana pasti kita teruji dengan janji yang ditabur.
saat itu kekecewaan melanda,
jiwa hamba melemahkan PENCIPTA.

Kerana itu,
saat ini adalah untuk semua memperbaiki diri.
Bukan sibuk menabur janji itu dan ini.
Kerana aku perlukan kekasih sejati,
yang sedang bersiap memiliki cinta sebenar.
Bukan untuk aku, untuk PEMILIK diriku.
Bersiaplah untuk deenmu,
perjalanan dakwahmu,
urusan duniamu,
persediaan akhiratmu,
aturan hidupmu,
dan perancangan matimu.

Kerana kebahagiaan sebenar kita,
apabila berada dalam redhaNYA.
Kerana dunia ini tidak menjanjikan apa-apa,
ianya adalah ladang untuk akhirat.
Hasilnya adalah untuk membeli Syurga,
jika tidak cukup,
Nerakalah tempatnya.
Semoga ALLAH redhai kita semua.


Monday, July 30

Masa Adalah Sebahagian Dari Rawatan (Edit Post)





 “Al waqtu juz’un minal ‘aalij”

Masa adalah sebahagian dari rawatan.
 Inilah pepatah tarbawi yang penting dalam pendidikan anak-anak. Saya selalu menegur dalam bentuk gurauan apabila isteri memarahi kenakalan anak-anak; “Kalau kecik-kecik kita nak suruh anak jadi macam orang tua, dah tua nanti kita nak suruh jadi macam siapa pulak?”.

Ya, anak-anak kita memerlukan masa untuk nakal dan belajar akibat dari kenakalan mereka. Biar mereka belajar dari kesilapan, tergesa-gesa, suka bergaduh/mengusik dan sebagainya. Kita pula sentiasa berada disisi sebagai guru yang membimbing dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.

PERTAMA: Jangan sekali-kali kita hilang pertimbangan dan kesabaran semata-mata kerana anak orang lain sudah ‘nampak matang’. Kematangan pun sudah ada yang ‘artificial’; Kalau ayah dan jadi sarjan mejar di rumah maka anak akan kelihatan tertib, kemas dan berdisiplin tetapi adakah mereka telah matang atau memiliki hakikat diri mereka sendiri.

KEDUAnya, tahap kematangan juga berbeza; ada yang cepat dan ada yang agak lambat. Sama seperti pertumbuhan fizikal; ada yang cepat membesar dan ada juga yang lambat. Jangan kerana melihat anak orang lain dan besar panjang, kitapun paksa anak kita makan banyak-banyak supaya cepat besar. Jadi kalau anak kita lambat kedewasaan atau kematanganya anggap saja sebagai lombong pahala, pujuk hati kita untuk SABAR dan PASRAH, insyaAllah Allah menjanjikan pahala yang banyak untuk KESABARAN dan KEPASRAHAN kita.

Segalanya memerlukan masa dan proses


Segalanya memerlukan masa dan proses. Mungkin, kadang-kadang kita teruja dengan sirah yang kita baca atau ceramah yang kita dengar berkaitan kecintaan anak pada al Quran lalu kitapun memaksa anak-anak membaca al Quran. Adakah jika anak-anak kita cepat khatam al Quran maka mereka akan cinta pada al Quran. Tentunya tidak, ada yang hafiz al Quran tetapi tidak pula menjadika Al Quran sebagai dustur hidup. Setiap sesuatu ada mula dan akhirnya.

Kalau kita ingin anak-anak kita cinta al Quran;
 1. Tunjukkan yang memang kita cinta dan tak mampu berpisah lama dengan al Quran,
2. Tunjukkan pencinta al Quran ini (kita) begitu tenang, lapang dada, penuh kemaafan dan hikmah sebagai kesan dari sentuhan al Quran hingga anak-anak ingin jadi seperti ibu ayah mereka,
3. Ajarkan al Quran pada anak-anak kita dengan penuh kesabaran …. Jangan semua kesalahan nak ditegur, jika kita nampak peningkatan maka hargai atau beri hadiah/perangsang, jangan ketika menyemak bacaan tumpuan kita hanya pada kesalahan hingga anak-anak jadi terbeban dan tidak sukakan al Quran. Sekali sekala, biar anak baca sendiri.
4. Dalam masa-masa yang tertentu bincangkan kisah-kisah dan pengajaran yang terkandung dalam al Quran hingga mereka tidak hanya melihat al Quran sebagai bahan bacaan.

Berbeza mengikut Kemampuan

Beri masa yang berbeza kepada anak-anak kita mengikut kemampuan mereka. Jika kita mati sebelum selesai didikan kita bagaimana pula? Itu urusan Allah tak payah sibuk-sibuk. Urusan kita:
1. Ikhlas dalam mendidik,
2. Ikhtiar yang terbaik,
3. Sentiasa berdoa dan bertawakal pada Allah.


Kita ada masa 7 tahun (Lahir hingga 7 tahun) untuk membina keyakinan diri anak-anak. Sayangilah mereka, puji sebanyaknya, beri kemaafan tanpa diminta, selalu membongkar kebaikan diri mereka bukan sebaliknya sambil-sambil kita mengajarkan adab dan sopan.

Kita ada 7 tahun lagi untuk membangunkan jiwa kehambaan (8 – 14 tahun); suruhlah mereka menolong di dapur, menolong dikebun, menolong jiran bila ada kenduri kendara. Semua ini dengan keramahan kadang-kadang tegas hingga mereka merasakan KHIDMAT itu adalah sebahagian dari diri mereka.

Kemudian kita ada lagi 7 tahun (15- 21 tahun) untuk jadikan mereka kawan karib kita untuk berkongsi keseronokan dan masalah, bina kebersamaan, bermesyuarat urusan perbelanjaan keluarga, bagaimana memanfaatkan masa cuti dan sebagainya. Dan tahun-tahun selepasnya ialah masa untuk kita menuai hasil tarbiyah yang telah terlaksana.


Terlambatkah kita?

Kalau semua tu baru kita sedar sekarang, sedangkan anak sudah besar panjang? Jangan berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Kalau nasi dah jadi bubur nak buat macamana TAPI jadikan bubur kita itu BUBUR YANG SPECIAL. Bagaimana? Masukkan bawang goreng, masukkan ayam dan udang, tambah daun sup dan cabai kicap secukup rasa. Ya, sekarang bubur kita lebih sedap dari nasi.

PERTAMA; Jangan merumitkan lagi masalah. Kesalahannya pada kita sendiri, bukan anak-anak; banyakkan taubat dan doa kepada Allah. Jangan sekali membebankan mereka dengan kesalahan kita. Jangan pula cuba nak buat ‘crash course’.

KEDUA; Belajar untuk menerima apa adanya, minta maaf pada anak, minta ampun pada Allah SWT dalam keadaan kita yakin bahawa Allah tahu kelemahan dan kelalaian kita sebagai manusia serta Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih.

KETIGA; Gunakan kaedah Problem Solving: Cuba Memahami masalah atau realiti, kenalpasti puncanya, rancang rawatan yang sesuai dan laksanakan dengan penuh kesabaran. Kalau sekali sekala hati kita tercedera anggap ini sebagai kafarah itu lebih baik jika Allah menyimpannya untuk dibalas di Akhirat, moga Allah mengampunkan dosa kita.
Buat 3 perkara tadi :
1. Ikhlas dalam mendidik,
2. Ikhtiar yang terbaik,
3. Sentiasa berdoa dan bertawakal pada Allah.
dan tinggalkan natijahnya sebagai urusan Allah SWT.



Post asal : Cikgu Azmi - http://my.opera.com/azmibhr/blog/2012/07/30/nota-tarbiyatul-awlad-5-masa-adalah-sebahagian-dari-tarbiyyah

Thursday, July 5

Jadilah Seorang Pengembara : Berhati-hati

 
 
Sentiasa jadikan dirimu seperti Seorang Pengembara.

Kerana pengembara itu sifatnya :
1. Sentiasa mencari orang-orang baik.
2. Selalu bertawakkal.
3. Sentiasa ambil peluang yang terhidang.

--------------------------
Pengembara itu berhati-hati dalam kehidupannya.
Jika mereka berkumpulan, mereka tidak mudah untuk bermusuhan.
Kerana pabila bergaduh, ianya akan merosakkan pengembaraan.

Sunday, June 17

Bertakbirlah 7 Petala Cinta



Jika alam ini menyedari kita sentiasa berusaha merapatkan ukhuwwah, segenap alam pasti bertakbir kegembiraan.
............................................
Sebagai contoh orang yang mengumumkan tarikh perkahwinan,pasti akan banyak LIKES dan SHARE statusnya. ^^
Baru umumkan, belum lagi berkahwin.

Kerana perkahwinan itu simbol pereratkan Ukhuwwah.
---------------------------------------
Apabila kita berjaya menyuburkan Ukhuwwah, pasti Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi yang akan sujud syukur.

Kerana kita telah berjaya meringkai Tujuh Petala Cinta yang terkandung di antara dua Petala tadi ^^

Monday, June 11

Motivasi : Tips – 15 Warming Up Menuju Ramadhan (by BroHamzah)


Picture : Adaptasi 10 tips dari karaya ini

Sedar atau tidak, kita sudah menghampiri Ramadhan.
Hari ini, kita berada di bulan Rejab. Kemudian, seminggu dua lagi kita akan menjejaki bulan Saaban. Dan – akhirnya akan tiba suatu bulan yang amat-amat dirindui iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak.
“ Abang, apa persiapan kita untuk hadapi Ramadhan ini?,” Soal isteri saya.
Terkejut  dan terkedu saya. Suatu soalan yang menyentap perasaan. Seolah-olah tidak menyedari akan kehadiran Ramadhan yang bakal menjelma.
“ Persiapan?,” Saya soal diri saya.
Persiapan dan persediaan menghadapi bulan Ramadhan amat-amat penting. Ia umpama sesi “warming-up” yang akan memberikan suatu posisi kesediaan yang meliputi aspek kejiwaan, fizikal, rohani, minda dan emosi kita.
Justeru, seringkas dan se”praktikal” yang mungkin saya kongsikan warming up menuju Ramadhan yang saya ambil berdasarkan panduan para ulama dan tips-tips oleh kitab-kitab tulisan para ilmuan Islam sebagai rujukan bersama.

  1. Lakukan pembacaan buku daripada kitab-kitab, buku-buku dan artikel-artikel berkaitan dengan Ramadhan.
  2. Lakukan warming-up dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis
  3. Latihan dan intensif tidur awal dan membiasakan diri untuk bangun awal.
  4. Mulakanlah membaca Al-Quran setiap hari dengan penuh tadabur, khusyuk dan terancang.
  5. Luangkan masa mendengar lantunan bacaan Al-Quran daripada pasangan anda, qari-qari yang terkenal  dan kaset-kaset radio.
  6. Biasakan diri untuk sentiasa memelihara wudhuk.
  7. Dekati, hampiri dan bergaul dengan orang-orang yang alim, warak dan soleh.
  8. Setiap malam sebelum tidur, bermuhasabahlah diri kita.
  9. Perbanyakanlah mendirikan solat sunat setiap hari,  terutamanya di saat sepertiga malam.
  10. Dalam sehari, berikanlah masa untuk bersendirian untuk berzikir kepada Allah SWT.
  11. Mulakanlah amalan bersedekah, sedikit demi sedikit.
  12. Bantulah orang lain yang sangat-sangat memerlukan sama ada dalam bentuk keilmuan, bantuan kewangan, pertolongan kudrat dan kemahiran yang kita miliki.
  13. Luangkan masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja disekitar anda dan berbincangkanlah tentang Ramadhan yang bakal tiba, persediaan, harapan, perlaksanaan dan sebagainya.
  14. Bagi yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah, maka rancanglah ia dengan sebaiknya.
  15. Hebah-hebahkan, war-warkan dan maklumkan tentang ketibaan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi kepada kenalan, sahabat handai dan sesiapa sahaja melalui SMS, emel, FB, twitter dan blog-blog anda.

Penutup : Kita mulakan.

Mari sama-sama kita mulakan sesi “warming up” ini. Sesi memanaskan jiwa, perasaan, tumpuan dan fokus kita terhadap Ramadhan. InsyaAllah, dengan sedikit persediaan ini kita akan lebih bersedia, terarah, bertenaga dan memiliki matlamat yang jelas untuk dicapai “sesuatu” yang berharga sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Sumber asal :
Ali Irfan Jamaluddin of Langit Ilahi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...